Kelantan hargai usaha NGO tawar bantuan ambulans

Ahmad (tiga dari kiri) bersama Hanifa (dua dari kiri) dan Wan Roslan (kiri) merasmikan perkhidmatan ambulans Yayasan Amal Cawangan Kelantan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Kota Bharu.
Ahmad (tiga dari kiri) bersama Hanifa (dua dari kiri) dan Wan Roslan (kiri) merasmikan perkhidmatan ambulans Yayasan Amal Cawangan Kelantan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memuji usaha Yayasan Amal Cawangan Kelantan menyediakan perkhidmatan ambulans bagi membantu golongan yang memerlukan khususnya asnaf di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, usaha yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tepat pada masanya ketika seluruh masyarakat terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Kami (kerajaan negeri) sentiasa menghargai usaha NGO untuk sama-sama melakukan kebajikan," katanya selepas merasmikan perkhidmatan ambulans itu di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini pada Isnin.

Hadir sama Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad, Exco Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO,

Wan Roslan Wan Hamat serta Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan, Abd Hamid Seman.

Sementara itu, Abd Hamid berkata, bayaran untuk ambulans yang ditawarkan itu lebih rendah berbanding perkhidmatan swasta lain di negeri ini.

Menurutnya, penyediaan ambulans secara percuma tidak mampu dilakukan oleh Yayasan Amal Malaysia Kelantan kerana perlu menampung kos penyelenggaraan, bahan api dan elaun pemandu.

"Bagaimanapun golongan asnaf yang memerlukan khidmat ambulans ini boleh mendapatkan surat sokongan dari Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada surat sokongan itu, kami akan berikan perkhidmatan pada harga subsidi," jelasnya.

Menurutnya, untuk menyediakan tiga buah ambulans itu, pihaknya memerlukan dana sekurang-kurang RM600,000 dan ia diperoleh hasil daripada sumbangan orang ramai.

Abd Hamid berkata, serangan pandemik Covid-19 banyak memberikan kesan kepada semua pihak termasuklah sosioekonomi, namun Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan tidak akan mengalah, malah akan terus bekerja dengan lebih kuat bagi merealisasikan hasrat itu.

Katanya, mereka menyasarkan untuk memiliki tiga buah ambulans sehingga tahun 2023 bagi membantu golongan asnaf di negeri ini ke hospital mendapatkan rawatan menerusi perkhidmatan yang disediakan itu.

"Sebagai permulaan pihaknya sudah memiliki sebuah ambulans untuk menawarkan perkhidmatan itu kepada penduduk di zon utara meliputi jajahan Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok.

"Bagaimanapun, perkhidmatan ini turut ditawarkan ke seluruh pelusuk negeri," katanya.

Menurutnya, pada Jun tahun hadapan pihaknya menyasarkan untuk menyediakan sebuah lagi ambulans di kawasan zon selatan merangkumi Kuala Krai, Gua Musang dan Lojing.

Abd Hamid berkata, pada tahun 2023, pihaknya akan melengkapkan perkhidmatan ini ke kawasan zon tengah iaitu Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Jeli.