MPKK diarah lengkapkan data kampung

Rina (enam, kiri) ketika menghadiri majlis tersebut.
Rina (enam, kiri) ketika menghadiri majlis tersebut.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberi tempoh hingga hujung tahun ini kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk melengkapkan data dan profil kampung masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, maklumat yang akan dikemaskini menerusi Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional (SPKPN) dan Sistem iDesa itu penting bagi tujuan perancangan dan pembangunan program-program kerajaan kepada rakyat di luar bandar.

“Data-data ini masih kurang dan belum capai sasaran sepertimana kita mahukan. Kalau boleh kena ada produk kampung supaya apabila pelancong yang akses kepada aplikasi itu dapat maklumat lebih terperinci.

“Jadi kita minta semua pengerusi MPKK dan jawatankuasanya bantu lengkapkan profil kampung mereka dengan segera pada tahun ini juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Interaksi Pemimpin sempena Kursus Induksi MPKK Negeri Perak.

SPKPN merupakan sistem yang mengandungi maklumat terperinci kampung, sementara iDesa adalah aplikasi telefon pintar yang paparkan maklumat ringkas kampung kepada masyarakat umum.

Menurutnya, sejak kerajaan meluluskan peruntukan khas berjumlah RM100 juta untuk diagihkan sebagai geran kepada MPKK, belum ada mana-mana kampung yang menghantar permohonan kepada kementerian.

“Geran ini diberikan dengan kadar RM10,000 setiap MPKK dan boleh digunakan untuk tujuan menjana pendapatan masyarakat, keceriaan dan keselamatan kampung, namun sehingga kini kita tidak terima sebarang permohonan lagi.

“Saya harap semua MPKK mengambil langkah membuat permohonan segera tahun ini juga, geran yang disediakan ini dapat membantu kampung membangunkan sumber ekonomi desa melalui pelbagai prospek antaranya pelancongan, perkhidmatan, pertanian, penternakan, pembuatan dan peruncitan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, Kedah bakal menjadi negeri kedua selepas Perak bagi pelaksanaan Program Desa Harapan yang dijadualkan dilancarkan April depan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek rintis di Kampung Kinjang, Chenderiang yang dirasmikan Disember lalu menunjukkan perkembangan positif apabila sudah ada syarikat yang mulakan program pembangunan di situ.

“Program ini kita susun dari semasa ke semasa dan dilancarkan di setiap negeri mengikut kesesuaian masa dan penglibatan syarikat, selepas Kedah kemungkinan Johor pula,” katanya.