Ditinggal suami, Siti Nurliza buntu fikir nasib lima anak

Siti Nurliza kini menghidap penyakit batu hempedu sekali gus menyukarkannya untuk bekerja selain terpaksa menanggung beban hutang ditinggalkan suaminya.
Siti Nurliza kini menghidap penyakit batu hempedu sekali gus menyukarkannya untuk bekerja selain terpaksa menanggung beban hutang ditinggalkan suaminya.
A
A
A

NILAI - Seorang wanita buntu memikirkan nasib diri bersama lima anaknya selepas suami yang dijadikan tempat bergantung menghilangkan diri sejak April lalu.

Siti Nurliza Ahmad Sabri, 32, berkata, lebih memeritkan apabila dia kini menghidap penyakit batu hempedu sekali gus menyukarkannya untuk bekerja selain terpaksa menanggung beban hutang ditinggalkan suaminya.

Menurutnya, dia tidak menyangka perkahwinan keduanya itu diuji sekali lagi ditambah pula dengan keadaan diri yang tidak sihat sekarang.

"Perkahwinan pertama dengan bekas suami, saya dikurniakan empat cahaya mata berusia antara tiga hingga 13 tahun manakala dengan suami kedua pula mendapat seorang anak perempuan yang kini berusia sembilan bulan.

"Pada awal perkahwinan, kami tak pernah ada masalah. Tapi pada April lalu saya tak tahu kenapa suami tiba-tiba berubah dan terus hilangkan diri selepas dia diburu polis," katanya selepas menerima kunjungan Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) Anak Jati Nilai di kediamannya di Taman Desa Jasmin di sini pada Ahad.

Sejak itu, Siti Nurliza berkata, hidupnya dirundung duka apabila dia terpaksa keluar dari rumah sewa yang kini masih tertunggak sebanyak RM1,800 selain keretanya juga hanya menunggu masa untuk ditarik pihak bank.

Dia berkata, sepanjang ketiadaan suaminya itu, dia terpaksa menyara hidup dengan menjual air di tepi jalan dan kini berniaga secara kecil-kecilan dari rumah.

Artikel Berkaitan:

Siti Nurliza(dua dari kiri) kini menyara hidup dengan berniaga choco jar.
Siti Nurliza(dua dari kiri) kini menyara hidup dengan berniaga choco jar.

"Saya nak cari kerja lain pun susah dengan keadaan tak sihat dan anak yang masih kecil. Hidup saya betul-betul tertekan sekarang menyebabkan saya alami Anxiety.

"Ini pun saya sedang tunggu untuk buat pembedahan buang batu dalam hempedu pada bulan depan," katanya.

Selain itu katanya, dia juga kini dalam proses tuntutan fasakh dengan suaminya, namun berdepan kesulitan kerana suaminya tidak dapat dihubungi dengan kali terakhir mereka berhubung pada Julai lalu.

"Saya mesej suami beritahu yang saya nak tuntut fasakh dan dia beritahu tak perlu cari dia lagi kerana dia pergi jauh.

"Kalau boleh saya nak selesaikan kes perceraian ini segera dan sekarang hanya mahu fikir soal anak-anak sahaja," katanya.

Bagaimanapun Siti Nurliza berkata, disebabkan keadaan dirinya yang tidak sihat, dia sangat berharap jika ada mana-mana pihak yang dapat membantunya mencari rezeki dari rumah sekali gus memudahkannya menjaga anak-anak.

"Saya bukannya nak meminta-meminta. Saya tahu, ramai lagi di luar sana yang hidup susah.

"Tapi hidup saya tertekan sekarang ini lebih-lebih lagi memikirkan macam mana saya nak sara anak-anak seorang diri. Lagipun bekas suami pertama pun langsung tak ambil tahu lagi soal hidup kami," ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Nurliza di talian 01116717583 atau ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Cimb Bank 7067829573.