X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

‘Jangan pernah mengalah dengan dugaan hidup’

Nurul Asyiqin kini semakin tenang dan berusaha mencari rezeki untuk meneruskan kehidupannya.
A
A

KUANTAN – Kita sering terdengar apabila seseorang menghadapi masalah kesihatan mental, mereka dianggap terlalu terbawa-bawa dengan perasaan.

Ia merupakan stigma yang salah kerana realitinya, antara cabaran terbesar mutakhir ini adalah untuk memelihara kesihatan mental dalam kehidupan.

Nurul Asyiqin Zulaidi, 22, yang menghidap Major Depressive Disorder (MDD) sering hilang kepercayaan terhadap dirinya untuk meneruskan kehidupan dan kerap dihambat dengan emosi yang tidak menentu.

“Masyarakat anggap saya gila. Saya betul-betul hilang arah pada masa itu. Saya tidak percaya diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan, malah saya tidak ada kekuatan untuk pergi kerja,” katanya.

Nurul Asyiqin yang telah kehilangan ibunya sejak dari kecil turut diuji dengan pemergian ayahnya sekali gus melunturkan semangatnya untuk hidup.

“Kehilangan ayah telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya. Saya berhenti kerja dan rasa gelap sangat kehidupan ini,” katanya.

Selepas dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk mendapatkan bimbingan, dia kemudiannya dirujuk ke Klinik Restart Perkeso iaitu sebuah program dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membolehkan seseorang individu kembali bekerja.

Muhammad Hilman (kiri) ditugaskan untuk membimbing Nurul Asyiqin.
Muhammad Hilman (kiri) ditugaskan untuk membimbing Nurul Asyiqin.

Program Prihatinnya Perkeso merupakan antara usaha untuk memastikan kemaslahatan masyarakat dan tenaga kerja dilindungi, terutamanya mereka yang memerlukan sokongan daripada aspek psikiatri dan kesihatan mental.

Kini, selepas tempoh kurang sebulan menerima bimbingan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi program Return To Work, Nurul Asyiqin akhirnya telah kembali bekerja sebagai seorang juruwang di sebuah kedai makan dan mampu untuk mendepani hidup dengan lebih yakin.

“Sejujurnya, saya tidak tahu sama ada saya mampu untuk bangun semula atau tidak. Saya bangun semula daripada episod gelap itu selepas menerima bimbingan daripada Perkeso.

“Pegawai Perkeso saya seorang yang baik hati dan selalu berikan semangat untuk terus berusaha. Beliau ajar saya untuk menyediakan resume sehinggalah saya berjaya dapat kerja ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Pahang, Muhammad Hilman Sayuti ditugaskan untuk membimbing Nurul Asyiqin.

Muhammad Hilman teruja dengan perkembangan positif yang ditunjukkan oleh Nurul Asyiqin dan berharap dapat menjadi contoh kepada masyarakat.

“Ketika negara dilanda Covid-19, kes- kes berkaitan kesihatan mental telah mencatatkan peningkatan mendadak.

“Apa yang ingin kami tekankan di sini ialah jangan sesekali menyerah kalah dalam menghadapi apa jua dugaan hidup.

“Kuatkan semangat, teruskan bertahan dan dapatkan pertolongan serta sokongan. Kami bersedia untuk membantu anda,” katanya.

Kerjasama erat Perkeso dan KKM menerusi Program Restart Perkeso telah bermula pada tahun ini dan mensasarkan untuk membantu serta mengembalikan golongan yang memerlukan sokongan psikiatri untuk kembali bekerja.

Sehingga kini,15 orang telah menerima manfaat daripada program ini dan akan terus diperluaskan skopnya dari masa ke masa untuk menangani lebih banyak kes melibatkan masalah mental.

Untuk pertanyaan lanjut, sila muat turun aplikasi Prihatin Perkeso melalui App Store/ Google Play atau hubungi talian 1 300 22 8000 atau layari laman sesawang Perkeso.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!