Bekas peguam saman Organisasi Trump

Cohen dilapor menyaman Organisasi Trump. - Foto EPA
Cohen dilapor menyaman Organisasi Trump. - Foto EPA
A
A
A

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Bekas peguam peribadi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilapor menyaman Organisasi Trump kerana gagal menanggung yuran guaman ketika beliau mewakili organisasi berkenaan.

Menerusi saman yang difailkan di Manhattan semalam, Michael Cohen menuduh organisasi Trump gagal membayar harga kerjasama beliau termasuk dalam siasatan berkaitan campur tangan Rusia dalam Pilihan Raya Presiden AS tahun 2016 yang diketuai Peguam Khas, Robert Mueller.

Cohen menambah, organisasi terbabit juga tidak membayar yuran guaman mahupun sebarang kos perkhidmatan sejak Mei 2018, berjumlah AS$1.9 juta (RM7.8 juta) bagi tempoh sehingga 25 Januari lalu.

Cohen,52, dijadual menjalani hukuman penjara tiga tahun bermula Mei ini, selepas mengaku bersalah melanggar peraturan kewangan kempen pilihan raya AS termasuk membayar 'wang tutup mulut' kepada dua wanita yang didakwa mempunyai skandal dengan Presiden Trump.

Minggu lalu, Cohen yang berkhidmat selama lebih 10 tahun bersama Trump memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pemantau Dewan Kongres AS dan menuduh presiden berkenaan sebagai rasis dan penipu.

Trump bagaimanapun menyangkal segala tuduhan Cohen dan menyatakan ia sekadar usaha untuk mengurangkan tempoh hukuman.- BBC/Reuters

Artikel Berkaitan: