X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

PRN Melaka, berbaloikah kos RM46 juta?

SPR telah mengumumkan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini.
A
A

SEPERTI sedia maklum, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengumumkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 November ini.

Walaupun banyak suara tidak bersetuju ia dilaksanakan dengan alasan kebimbangan berlakunya gelombang keempat penularan Covid-19 di negara ini tetapi terdapat peruntukan yang perlu diikuti selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Apa yang menarik perhatian ramai ialah anggaran kos perbelanjaan mengendalikan PRN sekitar RM46 juta seperti yang diumumkan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh pada 18 Oktober lalu.

Perkara tersebut sekali lagi menjadi buah mulut rakyat kerana keutamaan perbelanjaan negara ketika ini ialah mengembalikan ekonomi negara ke landasan terbaik, membantu keluarga di luar sana meneruskan kehidupan dan memastikan sektor perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana dapat terus bertahan dalam keadaan penuh mencabar.

Jumlah perbelanjaan tersebut hanyalah anggaran kos langsung dan belum mengambil kira kos-kos lain termasuklah kos yang perlu dikeluarkan kerajaan bagi tujuan rawatan sekiranya tercetusnya gelombang jangkitan Covid-19 akibat kempen secara fizikal dan keluar masuk jentera parti dari negeri-negeri lain.

Kerajaan perlu memikirkan langkah penjimatan berbanding melayan kerenah orang-orang politik yang didakwa hanya mempunyai kepentingan peribadi semata-mata.

Cadangan supaya kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong agar mengisytiharkan darurat di Melaka sehingga PRU15 sebenarnya langkah terbaik bagi menjimatkan perbelanjaan negara.

Apa pun keputusan telah dibuat dan PRN Melaka akan berlangsung dengan hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

Biarpun lebih 90 peratus rakyat sudah melengkapkan suntikan vaksin tetapi risiko jangkitan masih boleh berlaku, dengan tempoh berkempen selama 12 hari yang ditetapkan diharapkan mereka yang terlibat di Melaka benar-benar mematuhi prosedur operasi standard (SOP).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!