Tiga pelumba cilik FIM MiniGP raih tiket ke Valencia

Pelumba dari Selangor, Farres Putra (tengah) muncul juara keseluruhan saingan sulung FIM MiniGP Siri Malaysia di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang pada Ahad. - Foto Facebook FIM MiniGP Malaysia
Pelumba dari Selangor, Farres Putra (tengah) muncul juara keseluruhan saingan sulung FIM MiniGP Siri Malaysia di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang pada Ahad. - Foto Facebook FIM MiniGP Malaysia
A
A
A

PELUMBA dari Selangor, Farres Putra muncul juara keseluruhan saingan sulung FIM MiniGP Siri Malaysia di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang hari ini, sekali gus meraih tiket ke Kejuaraan Siri Dunia yang bakal berlangsung di Valencia, Sepanyol bulan depan.

Turut meraih tiket ke Valencia ialah Emil Idzhar dan Farish Hafiy yang masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga secara keseluruhan dalam kejuaraan pembangunan bakat peringkat akar umbi anjuran bersama Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan ZK Racing Team.

Menurut kenyataan daripada SIC, Farres meraih 135 mata selepas empat pusingan siri itu, mengatasi Emil (122) dan Farish (120 mata) dengan perlumbaan pada hari ini menjadi perlumbaan paling mencabar kepada pelumba-pelumba cilik berkenaan.

Setiausaha Agung MAM Muizz Azli sambil mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pelumba itu, berharap mereka dapat mempamerkan aksi yang baik di Kejuaraan Siri Dunia nanti yang berlangsung dari 10 hingga 11 November ini.

"Hari ini saingan bermula dengan perlumbaan basah pada Perlumbaan 1 dengan Perlumbaan 2 pula di trek yang agak kering, tentunya, ini adalah pengalaman yang cukup baik kepada para pelumba khususnya mereka yang akan bersaing di Valencia,” katanya dalam kenyataan sama.

Diiktiraf oleh Dorna, pemegang hak penganjuran kejuaraan MotoGP Dunia dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), para pelumba bersaing menggunakan Ohvale 160cc, yang merupakan motosikal perlumbaan keluaran Itali dan ditunggang pelumba remaja berusia antara 11 hingga 13 tahun.

Ketiga-tiga mereka dijadual berlepas ke Valencia pada 6 November ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: