MPK komited perangi rasuah

Mohamad Yasid (duduk, tengah), Adi Faizal (duduk, tujuh kiri), Alias (duduk, tujuh kanan) bersama Abdul Ghani (duduk, enam kanan) dan Ahli Majlis MPK serta PeBT yang hadir.
Mohamad Yasid (duduk, tengah), Adi Faizal (duduk, tujuh kiri), Alias (duduk, tujuh kanan) bersama Abdul Ghani (duduk, enam kanan) dan Ahli Majlis MPK serta PeBT yang hadir.
A
A
A

KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) terus memperkukuh nilai integriti dalam kalangan kakitangannya.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, sepanjang dua tahun melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), pihaknya tiada rekod tangkapan kes rasuah.

“Sejak beri penekanan kepada IBR, kita tidak pernah menerima sebarang kes tangkapan melibatkan kes suapan atau rasuah dalam kalangan kakitangan MPK.

“Yang ada cuma kes ‘tohmahan’ melibatkan anggota penguatkuasa yang didakwa menerima wang daripada pekedai tidak berlesen.

“Kes ini berlaku pada 2017 namun sehingga kini tiada tindakan diambil SPRM berhubung perkara ini,” katanya ketika sidang media Majlis Ikrar Bebas Rasuah MPK, di Dewan Hamzah, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim; Orang Besar Daerah Klang, Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir dan Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Seramai 24 Ahli Majlis MPK serta 21 Penggerak Belia Tempatan (PeBT) melafazkan IBR.

Artikel Berkaitan:

Ahli Majlis MPK dan PeBT melafazkan ikrar IBR di Dewan Hamzah, semalam.
Ahli Majlis MPK dan PeBT melafazkan ikrar IBR di Dewan Hamzah, semalam.

Mohamad Yasid berkata, lafaz IBR dalam kalangan Ahli Majlis dan PeBT julung kali.

“IBR merupakan inisiatif MPK agar setiap individu yang menandatangani ikrar, akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan amanah dipikul serta menjauhkan diri daripada sebarang salah laku perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan itu.

“Usaha ini juga sebagai komitmen memastikan pembentukan modal insan Ahli Majlis MPK dan PeBT dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya melihat inisiatif tersebut dapat menjadi pemangkin paling kukuh dalam pentadbiran yang berintegriti dan bertanggungjawab.

“Tindakan ini jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen dan keinginan institusi ini untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan bebas rasuah.

“Usaha ini bagi memastikan tanggungjawab dan amanah MPK kepada rakyat, khususnya komuniti di daerah ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.