Masalah internet kerana bentuk muka bumi, pokok tinggi

Annuar
Annuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah liputan internet yang dialami penduduk di Kampung Seri Kesinai, Padang Besar, Perlis, adalah berpunca daripada keadaan bentuk muka bumi dan pokok-pokok tinggi yang terdapat di kawasan berkenaan.

Menerusi catatan di Twitter, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu dikenal pasti selepas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) melakukan siasatan semasa turun ke kawasan itu pada 21 Oktober lepas.

Susulan penemuan masalah itu, Annuar berkata KKMM akan memulakan kerja pengoptimuman menara berhampiran yang akan bermula esok dan dijangka siap pada 8 November, sebagai salah satu daripada langkah penyelesaian.

"Menara Kg Baharu telah selesai dinaik taraf bagi menambah baik kualiti 4G dan menara baharu di Sg Chuchuh juga telah mula beroperasi dengan memberi perkhidmatan dan manfaat yang lebih baik bagi penduduk di Sungai Chuchuh Unicity dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan kekecewaan ibu bapa berhubung masalah capaian internet khususnya kawasan luar bandar Perlis sehingga menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) anak-anak mereka sering terganggu. - Bernama

Artikel Berkaitan: