Projek lapangan terbang baharu di Gebeng boleh diteruskan

Wan Rosdy menyampaikan cenderamata kepada Mustapa selepas sesi Roadshow Pasca RMK12 oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bersama kerajaan negeri Pahang di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Wan Rosdy menyampaikan cenderamata kepada Mustapa selepas sesi Roadshow Pasca RMK12 oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bersama kerajaan negeri Pahang di sebuah hotel di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Persekutuan tiada halangan terhadap cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di kawasan perindustrian Gebeng di sini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara yang bersetuju agar projek itu dikaji secara lebih lanjut.

Menurutnya, secara dasar kerajaan serta agensi berkaitan tiada halangan terhadap projek itu dan ia boleh diteruskan.

"Projek ini merupakan perancangan jangka panjang yang akan dibangunkan mengikut fasa sehingga tahun 2050.

"Selain pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa, projek itu turut melibatkan pembinaan pusat beli belah, hotel dan sebagainya yang akan dibangunkan secara penswastaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bersama kerajaan negeri Pahang di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Wan Rosdy sebelum itu hadir menyempurnakan program tersebut bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Wan Rosdy berkata, cadangan projek itu mengambil kira keperluan sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa di negeri ini dan pantai timur khususnya.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini, Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah sedia ada 'menumpang' lapangan terbang Pangkalan Udara Kuantan (TUDM).

"Proses naik taraf atau pembesaran lapangan terbang itu tidak dapat dilakukan mengambi kira ruang yang terhad selain atas faktor keselamatan," katanya.

Tambah beliau, sekiranya lapangan terbang baharu itu berjaya direalisasikan, ia akan mewujudkan penerbangan terus dari negara luar terus ke Kuantan.

"Lapangan terbang sedia ada akan 'dikembalikan' kepada TUDM," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri menyenaraikan 13 projek mengikut keutamaan pada RMK12 termasuk tujuh projek pembinaan jalan raya di negeri ini.

Katanya, senarai itu antara 371 projek bernilai RM50 bilion yang dikemukakan kerajaan negeri.

Sementara itu, Mustapa berkata, sebanyak RM11.5 bilion diperuntukkan kepada Pahang dalam RMK11 di mana RM3.4 bilion dikhususkan untuk projek jalan raya.

"Bagi tahun ini, sebanyak RM326 juta diperuntukkan bagi tujuan itu.

"Untuk peruntukan tahun depan, ia bergantung kepada pembentangan bajet yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat ini," katanya.

Beliau berkata, perkara-perkara yang dibangkitkan kerajaan negeri pada sesi itu akan dipertimbangkan, manakala projek-projek sambungan dan projek dalam pembinaan akan diteruskan.