Buru kemenangan demi penyokong

Luqman mengawal bola pada sesi latihan menjelang pertemuan dengan Laos pada Rabu. - foto fb FAM
Luqman mengawal bola pada sesi latihan menjelang pertemuan dengan Laos pada Rabu. - foto fb FAM
A
A
A

PENYERANG Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Luqman Hakim Samsudin berazam menghadirkan kemenangan buat penyokong khasnya rakyat Malaysia apabila menyingkap tirai saingan Kelayakan Piala Asia 2022 menentang Laos di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF), pada Isnin.

Malah menurut pemain berusia 19 tahun yang kini menyarung jersi kelab Belgium, KV Kortrijk percaya permulaan positif itu mampu direalisasikan berdasarkan kepada persiapan rapi dan komitmen dalam kalangan para pemain skuad kendalian Brad Maloney menjelang perlawanan berkenaan.

Jelasnya rakan-rakan sepasukannya juga telah bersedia mental dan fizikal bagi mengharungi perlawanan tersebut dengan berpandukan perancangan taktikal daripada Maloney.

“Kita orang semua nak menang. Tak nak kalah, tak nak seri. Nak menang sahaja. Kita akan bagi rakyat Malaysia happy (gembira).

“Segala persiapan sepanjang empat hari berada di Mongolia juga telah dilakukan secara rapi dan sangat baik, malah rakan-rakan semua juga sudah bersedia jadi hanya untuk menang sahaja.

“Bagi saya tidak ada masalah untuk menang, namun kita juga tidak boleh ambil mudah dengan keupayaan Laos kerana mereka sudah pasti ada perancangan sendiri tetapi coach (jurulatih) Brad (Maloney), juga sudah pasti ada perancangan dan taktikal untuk kita,” katanya pada sidang media dalam talian pada Ahad.

Sementara itu, Luqman turut bersedia untuk berdepan asakan-asakan keras daripada benteng pertahanan lawan di sepanjang aksi kelayakan berkenaan.

Katanya, situasi itu merupakan perkara biasa yang akan dihadapi setiap pemain terutamanya penyerang di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, itu perkara biasa. Sebagai pemain penyerang, sudah pasti saya akan dijadikan target (sasaran) oleh barisan pertahanan lawan.

“Bagaimanapun, saya berharap kita juga akan dapat mencapai sasaran kita iaitu untuk menang pada perlawanan ini. Insya-ALLAH, doakanlah yang terbaik untuk pasukan Malaysia,” katanya.