Banjir: Melaka semakin pulih, mangsa banjir di Selangor berkurang

Hujan lebat berterusan mengakibatkan 36 lokasi di tiga daerah di Melaka dilanda banjir kilat, baru-baru ini. - Foto Bernama
Hujan lebat berterusan mengakibatkan 36 lokasi di tiga daerah di Melaka dilanda banjir kilat, baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Melaka semakin pulih petang ini dengan hanya sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi, manakala jumlah mangsa banjir di Selangor pula semakin berkurang.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kolonel Cuthbert John Martin Quadra memaklumkan, hanya sebuah PPS yang masih beroperasi di Alor Gajah.

Beliau menjelaskan, ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal yang kini menempatkan 23 mangsa daripada tujuh keluarga padajam 4 petang ini, berbanding 99 mangsa daripada 29 keluarga pada jam 8 pagi tadi.

Di SELANGOR, portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan sehingga jam 4 petang tadi, jumlah PPS beroperasi di Sepang masih sama iaitu tiga PPS dan jumlah mangsa semakin berkurang iaitu menempatkan 47 mangsa daripada 13 keluarga berbanding 55 mangsa daripada 15 keluarga pada sebelah pagi.

Tiga PPS yang masih dibuka tersebut adalah di Sekolah Rendah Agama Kampung Giching (34 mangsa); Sekolah Rendah Agama Kampung Labu Lanjut (12 mangsa) dan Balai MPKK Kampung Giching yang kekal menempatkan seorang mangsa banjir.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, seramai 1,700 anggota dari seluruh balai di negeri tersebut telah diarahkan untuk bersedia bagi menghadapi banjir.

Hafisham berkata, hanya 20 peratus anggota yang dibenarkan untuk mengambil cuti pada waktu ini memandangkan mereka perlu bersedia untuk bencana tersebut dan kesemua aset JBPM seperti bot dan lori berada dalam keadaan sedia.

Menurutnya, semua agensi di negeri Selangor seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut terlibat dengan persediaan menghadapi banjir di negeri tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: