Perak FC siap sedia sebarang kemungkinan

Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. Gambar kecil: Azman Noh
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. Gambar kecil: Azman Noh
A
A
A

KEMUNGKINAN Perak FC kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan gara-gara isu tunggakan gaji melibatkan Sarawak United FC tidak dilihat sebagai ‘durian runtuh’ buat The Bos Gaurus.

Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh berkata, setakat ini persiapan pasukan lebih terarah bagi menghadapi saingan Liga Premier musim depan.

“Kalau ikut persediaan kita terutamanya dari segi bajet, segala keperluan kita ketika ini adalah sebagai persediaan untuk beraksi dalam Liga Premier. Kita sudah mula merancang bagi menghadapi saingan liga musim depan.

“Tetapi kita tidak akan menolak andai ditakdirkan kita diminta oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk bermain semula dalam saingan Liga Super... kita terimalah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sarawak United FC muncul naib juara Liga Premier musim ini, sekali gus layak secara automatik bersaing ke kempen Liga Super musim depan.

Bagaimanapun, isu tunggakan gaji membabitkan beberapa pemain utama Sarawak United telah menyebabkan skuad The Crocs itu berdepan tindakan berat termasuk larangan perpindahan pemain, diturunkan ke liga lebih rendah atau paling serius lesen ditarik balik.

Situasi itu secara tidak langsung dilihat memberikan ’talian hayat’ kepada Perak FC yang tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan untuk terus kekal beraksi dalam saingan Liga Super.

Azman berkata, beliau yakin pengurusan Sarawak United mampu menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan bagi memastikan The Crocs beraksi buat kali pertama dalam Liga Super.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga tidaklah mengharapkan satu ‘keajaiban’ untuk kekal dalam Liga Super, tetapi macam saya katakan tadi, jika ditakdirkan, kita tidak akan tolak,” ujarnya.