Jangan pertaruh kemenangan PRN Melaka kepada PH: Mohd Khairuddin

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Pas berharap parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional dapat bekerjasama dengan tidak mempertaruhkan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kepada Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyeru agar rundingan dibuat bagi mengelakkan perpecahan dalam parti kerajaan.

“Jangan pertaruhkan kemenangan PRN Melaka kepada PH disebabkan perpecahan setelah kita menjadi kerajaan hari ini disebabkan oleh perpaduan antara kita. Perpaduan adalah penyelamat, perpecahan adalah azab dan sengsara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan tentang formula perundingan di PRN Melaka iaitu kerusi penyandang kekal pada penyandang.

Menurut Mohd Khairuddin, ia bermakna Barisan Nasional (BN) akan kekal bertanding dengan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dengan dukungan undi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 14 kerusi ini sangat selamat untuk dimenangi UMNO.

“Bersatu kekal bertanding dua kerusi yang disandang. Kemenangan adalah sangat dijangka dengan dukungan undi UMNO, BN dan Pas,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, kerjasama antara PN dan MN mampu memenangi lima lagi kerusi di PRN Melaka pada 20 November nanti.

Artikel Berkaitan:

“Baki lagi 12 kerusi perlu diagihkan antara tiga parti. Dengan dukungan tiga parti utama, lima kerusi sangat selamat untuk dimenangi bersama atas nama muafakat.

“Dengan itu PN dan Muafakat Nasional gagah untuk memenangi PRN Melaka dengan 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka. PH boleh tutup buku,” ujar beliau.