X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021
Skuad negara menjalani latihan sebagai persiapan menentang Laos pada Isnin. - FOTO: FB FAM
A
A

SKUAD Bawah 22 tahun (B-22) negara wajib melakar kemenangan ke atas Laos dalam aksi pembukaan Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia pada Isnin.

Bekas pengendali skuad negara, Wan Jamak Wan Hassan berkata, kemenangan pertama dalam kempen kelayakan itu akan memberikan laluan lebih mudah kepada Malaysia sebelum bertemu Mongolia dan Thailand.

Malah, beliau juga percaya Malaysia berpeluang cerah untuk menang ke atas Laos berdasarkan kepada barisan pemain berkualiti yang dipilih pengendali skuad B-22 negara, Brad Maloney.

“Kalau tengok pada sejarah apabila bertemu dengan Laos... kita sentiasa ada kelebihan. Pemain yang dipanggil Maloney juga ada yang bermain di luar negara dan kebanyakan bermain dalam skuad utama Liga Malaysia.

“Saya rasa ini gabungan pemain yang mantap selain kehadiran pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin dan tonggak muda yang beraksi bersama kelab SGV Freiburg di Jerman, V Annil.

“Malah, kehadiran beberapa pemain yang pernah bersama skuad senior sebelum ini akan memberi nilai tambah kepada skuad muda negara kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Selepas menentang Laos, Malaysia dijadual bertemu Mongolia pada Khamis sebelum berdepan seteru utama, Thailand tiga hari kemudian bagi menutup aksi Kumpulan J.

Dalam pada itu, Wan Jamak berharap Malaysia tidak terlalu mengharapkan kepada Luqman Hakim sebagai senjata utama bagi memburu kemenangan.

“Dalam bola sepak bukan harap kepada seorang sahaja. Semua pemain ada peranan utama dan perlu bermain sebagai satu unit sekali gus memberikan persembahan yang berkualiti.

“Namun, saya percaya pemain tahu tanggungjawab mereka. Kita boleh tengok ketika menentang KDA FC, Penang dan Negeri Sembilan FC, mereka mampu menghadapi tekanan daripada pemain yang jauh lebih dewasa.

“Sebab itu, saya optimis peluang skuad negara untuk menang agak cerah. Ini peluang kita untuk mendapat tiga mata kerana ia akan lebih membuka jalan lebih luas di hadapan,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!