Ahli Pas perlu bersangka baik, berlapang dada: Hassan

Hassan Mahmood
Hassan Mahmood
A
A
A

BACHOK - Semua ahli Pas perlu sentiasa mengamalkan budaya bersangka baik serta berlapang dada terutamanya dalam bermuafakat dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Hassan Mahmood berkata, perpaduan yang telah terjalin selama ini perlu dipertahankan dan diperkasakan sekiranya semua pihak mahu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, merujuk kepada situasi negara kini, Pas sebagai sebuah gerakan Islam perlu berjiwa besar untuk menjadi pendamai dalam agenda perpaduan ummah dan pastinya usaha ini bukanlah semudah yang disangka.

"Ianya memerlukan kesabaran dan ketabahan kerana kerajaan yang ganjaran dijanjikan ALLAH SWT amatlah hebat.

"Dalam usaha untuk memastikan kerajaan yang ada sekarang kekal memerintah, ahli Pas perlu lebih bijaksana dan cermat dalam berhadapan dengan pelbagai situasi," katanya.

Hassan sebelum itu menyampaikan ucaptama di Muktamar Dewan Ulama Pas Negeri di Kompleks Pendidikan Islam di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, perlulah diingatkan bahawa sikap bersabar ini tidaklah sampai menggadaikan prinsip parti.

Menurutnya, situasi politik negara kini menunjukkan parti-parti politik Melayu dan Islam perlu bersatu dalam berhadapan dengan gabungan pembangkang.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya berlaku perpecahan antara mereka, maka pastinya negara akan diperintah semula oleh pembangkang sepertimana yang telah berlaku sebelum ini.

"Pengalaman berada di bawah Pakatan Harapan selama 22 bulan amatlah memeritkan.

Hakikatnya musuh yang sedang kita hadapi sekarang bukanlah kuat sangat, namun mereka boleh menang apabila kita berpecah dan berbalah sesama kita," katanya.

Muktamar Dewan Ulama Pas Negeri turut meluluskan usul yang mencadangkan Dewan Ulama Pas di peringkat kawasan, negeri dan Pusat agar menjadi pendamai menyelesaikan segala isu-isu berbangkit termasuk yang boleh membawa kepada terlerainya muafakat yang terjalin.

Usul berkenaan yang dibuka untuk dibincangkan tidak dibahaskan dan diterima sebulat suara seluruh perwakilan yang hadir.