Penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul buktikan OKU bukan penghalang

Meor Muhammad Afif Aiman (kiri) merupakan pengasas Persatuan Mahasiswa Istimewa (Permai) di Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UUM.
Meor Muhammad Afif Aiman (kiri) merupakan pengasas Persatuan Mahasiswa Istimewa (Permai) di Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UUM.
A
A
A

KUBANG PASU - Pelajar Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar, 31, dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Kedah, Selasa lalu.

Meor Muhammad Afif Aiman berkata, status orang kurang upaya (OKU) membuktikan kekurangan diri bukanlah halangan untuk aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kepimpinan.

Katanya, penglibatan dalam kedua-dua aktiviti itu bermula sejak dia menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM pada 2011, ditambah pula dengan sokongan bapanya sebagai pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPDA) Kampus Darulaman yang turut aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

"Saya bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dipilih oleh kerajaan negeri Kedah menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk menerima anugerah tersebut secara dalam talian.

"Ia adalah satu pengiktirafan dan amanah besar untuk saya meneruskan agenda yang dibawa dalam melahirkan lebih ramai pemimpin muda khususnya mereka yang merupakan OKU," katanya di sini pada Ahad.

Menurutnya, anugerah yang diterima itu juga sangat istimewa kerana ia mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

"Kerja keras dan komitmen yang saya curahkan untuk membantu masyarakat dan anak-anak muda tanpa mengira penat lelah serta wang ringgit sememangnya berbaloi dengan penganugerahan ini.

"Saya anggap anugerah ini juga adalah rezeki di atas kelahiran cahaya mata pertama sejak mendirikan rumahtangga pada tahun lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Meor Muhammad Afif Aiman menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Kedah secara dalam talian pada Selasa lalu.
Meor Muhammad Afif Aiman menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Kedah secara dalam talian pada Selasa lalu.

Meor Muhammad Afif Aiman menambah, dia mula bergiat aktif dalam perjuangan dan pembangunan sahsiah khususnya untuk komuniti OKU setelah menerima Anugerah Nadi Negara 2017 dan kini merupakan Pengerusi Tetap Majlis Belia OKU Kebangsaan (MBOKU) dan merupakan Presiden MBOKU negeri Kedah.

"Saya juga Pengasas Persatuan Mahasiswa Istimewa (Permai) di Jabatan Hal Ehwal Pelajar memandangkan ketika itu tiada persatuan pelajar untuk OKU di UUM, seterusnya menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) Permai Kebangsaan yang melibatkan pelajar universiti dan alumni di seluruh negara terdiri daripada OKU," katanya yang merupakan OKU 'short limb gait' dan telah menjalani 'correctional operation' pada April lalu.

Menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola dalam kepimpinan, dia yang juga Felo Bersekutu di Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis (IEIJS) berkata, seorang pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang mampu melahirkan lebih ramai pemimpin.

Meor Muhammad Afif Aiman (kanan) ketika menyertai aktiviti kemasyarakatan di UUM.
Meor Muhammad Afif Aiman (kanan) ketika menyertai aktiviti kemasyarakatan di UUM.

"Alhamdulillah, setakat ini ramai anak muda dalam kalangan belia dan lepasan sekolah dalam komuniti setempat serta masyarakat yang telah dilahirkan untuk menjadi pemimpin dengan memberikan mereka peluang dan panduan menerusi program-program dan 'social bonding'.

"Saya berharap dapat meneruskan perjuangan dan amanah ini pada masa hadapan bagi membantu mereka yang memerlukan, selain memberikan ceramah motivasi di peringkat sekolah, universiti, agensi kerajaan dan swasta," katanya yang juga Pembantu Pengajar Siswazah (GTA) di Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) sejak 2016.

Kejayaan Meor Muhammad Afif Aiman itu turut membanggakan warga UUM dan menerima ucapan tahniah daripada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah yang berharap Meor Muhammad Afif Aiman akan meneruskan misi untuk membantu anak muda dan golongan yang memerlukan demi pembangunan masa depan.