Penglibatan wanita peringkat kepimpinan masih rendah

 Dr Wan Azizah Wan Ismail
Dr Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penglibatan wanita pada peringkat kepimpinan dan pembuat dasar di Malaysia masih rendah meskipun ia memperlihatkan peningkatan berbanding sebelum ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah berkata, beliau yakin statistik itu dapat ditambah jika syarikat tersenarai awam komited memainkan peranan lebih penting untuk mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan.

Pada tahun 2018, seramai 1,010 ataupun 15.7 peratus daripada jumlah 6,245 kerusi anggota lembaga pengarah di semua syarikat tersenarai awam diisi oleh wanita.

Manakala dalam 100 syarikat tersenarai awam teratas, penyertaan wanita sebagai anggota lembaga pengarah telah meningkat kepada 24.4 peratus pada tahun 2018 berbanding 19.27 peratus pada 2017.

“Jika dilihat pada pencapaian terkini, sememangnya ia masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan agar 30 peratus pengisian anggota lembaga pengarah di syarikat tersenarai awam adalah dalam kalangan wanita,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Bagi sektor awam, katanya, hampir 36 peratus daripada penjawat awam Kumpulan Pengurusan Tertinggi pada masa ini ialah wanita.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, antara faktor yang menyebabkan sasaran ini masih belum dicapai ialah ‘gender diversity’ tidak dilihat sebagai satu pendekatan bisnes yang strategik.

Selain itu, katanya, wanita masih dianggap sebagai tidak bersedia dan berkelayakan untuk memikul tanggungjawab sebagai anggota lembaga pengarah walaupun mereka dikenalpasti sebagai berkemampuan menduduki kerusi lembaga pengarah.

Artikel Berkaitan:

“Hasil kajian yang diadakan di Malaysia serta global jelas menggambarkan kaum wanita masih dipinggirkan dalam aspek ini memandangkan sistem, struktur, amalan dan pemikiran masyarakat yang condong ke arah pemikiran patriarki yang merugikan negara.

“Oleh itu, saya menyeru semua syarikat tersenarai awam menggandakan lagi usaha untuk meningkatkan penyertaan wanita kerana ini tindakan yang wajar,” katanya.

Katanya, beberapa kajian menunjukkan bahawa ‘gender diversity’ dan penyertaan wanita sememangnya akan menyumbang kepada pengurusan kewangan syarikat yang lebih baik termasuk dari aspek governans.

Malah, ‘gender diversity’ telah menjadi antara pertimbangan penting pelabur sebelum sesuatu keputusan pelaburan dibuat.

Justeru, Dr Wan Azizah berkata kerajaan akan terus komited ke arah meningkatkan penglibatan wanita dalam peringkat kepimpinan selaras dengan sasaran 30 peratus yang ditetapkan.

Antara inisiatif yang dijalankan untuk menggalakkan lebih wanita memegang jawatan anggota lembaga pengarah bagi mencapai sasaran 30 peratus ialah mewujudkan 30% Club, iaitu satu kumpulan pengerusi-pengerusi syarikat dan pimpinan perniagaan yang berfungsi menyediakan pelbagai program ‘mentoring’ bagi mempersiapkan wanita sebagai anggota lembaga pengarah.

“Kelab ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengerusi syarikat dan pemimpin perniagaan yang lain akan kepentingan kepelbagaian jantina dalam sesebuah pembangunan ekonomi,” kata beliau.

Hasilnya penyertaan wanita sebagai anggota lembaga pengarah di 100 syarikat tersenarai awam teratas telah meningkat kepada 24.4 peratus tahun lepas berbanding pada tahun 2015 iaitu hanya 14 peratus, katanya.

Tambahnya KPWKM juga akan terus mengadakan lebih banyak sesi penglibatan untuk memastikan syarikat tersenarai awam mengambil serius perkara berkenaan.

Antaranya Women Directors’ Programme iaitu satu program latihan yang dikendalikan oleh pakar-pakar dari Akademi Pengarah Malaysia (MINDA) kepada anggota lembaga pengarah wanita untuk tujuan memberdayakan wanita agar bersedia menjalankan tanggungjawab itu. - Bernama