Muktamar lulus 10 usul tanpa bahas

Muktamar Ulama Pas ke-50 diadakan di Kompleks Pendidikan Islam di Bachok pada Ahad.
Muktamar Ulama Pas ke-50 diadakan di Kompleks Pendidikan Islam di Bachok pada Ahad.
A
A
A

BACHOK - Muktamar Ulama Pas Negeri Kelantan ke-50 meluluskan 10 usul yang dikemukakan oleh wakil-wakil ulama kawasan seluruh kelantan, di sini pada Ahad.

Empat usul dibaca dan diterima tanpa bahas di muktamar berkenaan yang diadakan di Kompleks Pendidikan Islam di Bachok di sini manakala enam usul lagi merupakan usul yang perlu dibincangkan di muktamar berkenaan.

Antara empat usul yang diterima tanpa bahas melibatkan usul yang dikemukakan Pas Kawasan Bachok yang menggesa pucuk pimpinan Pas supaya mewujudkan persefahaman yang jelas dan tegas dalam mempertahankan prinsip-prinsip Islam dalam perkara yang melibatkan dasar-dasar kerajaan.

Usul kedua yang juga diterima tanpa bahas ialah daripada Dewan Ulama Pas Kubang Kerian yang menggesa pihak kerajaan negeri dan pusat mewujudkan pasukan petugas khusus untuk pengundi 18 tahun bagi menarik minat mereka agar peduli kepada negara dan agama.

Usul ketiga ialah daripada Dewan Ulama Pas Negeri agar dewan ulama pas di semua peringkat iaitu kawasan, negeri dan pusat perlu menjadi pendamai menyelesaikan segala isu-isu berbangkit termasuk yang boleh membawa kepada terlerainya muafakat yang dijalinkan.

Dewan Ulama semua peringkat hendaklah segera mencari solusi dan dibawa kepada pucuk kepimpinan tertinggi untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam parti dan pentadbiran negeri mahupun negara.

Usul keempat juga daripada Dewan Ulama Pas negeri yang mencadangkan supaya seluruh ahli Dewan Ulama Pas Kawasan dapat menginfak RM1 untuk disumbangkan kepada Dewan Ulama Pas Negeri setiap bulan.

Oleh kerana Dewan Ulama Pas Kawasan baharu sahaja ditubuhkan, maka infak tersebut juga perlu disumbangkan oleh ahli Dewan Ulama Pas Kawasan tersebut. Maka, mereka perlu menginfak sebanyak RM2 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, enam usul yang diterima tanpa dibahas dan tanpa perbincangan antaranya yang pertama ialah daripada Dewan Ulama Pas Pasir Puteh yang mengusulkan supaya menaikkan elaun pegawai halakat diseluruh negeri sesuai dengan tuntutan semasa.

Usul kedua yang diterima ialah daripada Dewan Ulama Pas Pengkalan Chepa iaitu mengenai cadangan agar Pas Pusat meluaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) merentasi parti politik agar Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti hanya berlaku pertandingan dua penjuru sahaja, bukan tiga penjuru ataupun lebih.

Usul ketiga yang diterima pula ialah daripada Dewan Ulama Pas Machang iaitu seluruh ahli Pas perlu memberi Wala' sepenuhnya kepada pimpinan tanpa ragu-ragu dan tidak mendahului pimpinan dalam membuat sebarang kenyataan.

Usul keempat pula daripada Dewan Ulama Pas kawasan Tumpat iaitu mereka berdiri teguh dibawah kepimpinan ulama dalam perkara tawun siyasi dengan UMNO, Bersatu dan parti-parti lain.

Usul kelima pula ialah daripada Dewan Ulama Pas kawasan Kubang Kerian iaitu mengusulkan supaya parti mengekalkan logo bulan semasa bertanding dalam PRU-15 nanti.

Usul terakhir yang diterima tanpa bahas ialah daripada Dewan Ulama Pas Kota Bharu iaitu cadangan supaya diperkuaskan program tarbiah secara konsisten dan istiqamah bagi meningkatkan kepahaman ahli dan lantikan politik agar keterlibatan di dalam Pas didasari akidah.