Maritim gagalkan seludup dadah

Dadah jenis syabu yang ditemui oleh penguat kuasa Maritim. Dadah jenis syabu yang dibaling suspek.
Dadah jenis syabu yang ditemui oleh penguat kuasa Maritim. Dadah jenis syabu yang dibaling suspek.
A
A
A

MELAKA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM36,000 di perairan Tanjung Kling pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, semasa melaksanakan rondaan rutin, pasukan operasi telah mengesan sebuah bot yang berada dalam keadaan bergelap dan mencurigakan di perairan Tanjung Kling sekitar jam 10.15 malam.

Menurutnya, curiga dengan situasi bot tersebut, pasukan operasi bertindak menuju ke arah bot itu untuk melakukan pemeriksaan.

"Sebaik sahaja menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, suspek terus bertindak mencampak satu objek ke atas beting berbatu lalu memecut laju bot.

"Aset Maritim Malaysia mengejar bot suspek yang menuju ke kawasan cetek dan gelap, namun gagal mengesan bot tersebut yang telah menghilangkan diri.

"Pasukan operasi berpatah balik ke lokasi objek yang dicampak suspek dan menemukan satu beg berwarna hitam di atas beting batu tersebut. Pemeriksaan ke atas beg menemukan satu bungkusan teh Cina yang berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis syabu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Haris Fadzillah berkata, barang kes kemudiannya dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dadah tersebut dipercayai akan diseludup ke negara jiran dan suspek menggunakan modus operandi menyamar sebagai nelayan tradisional dengan menggunakan bot-bot kecil sebagai pengangkutan.

"Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan akan menjalankan siasatan lebih lanjut mengenai kes ini bagi menjejaki dalang atau pihak terlibat dalam pengedaran dadah kerana aktiviti ini dilihat mula aktif di perairan negeri ini.

"Bagi menyekat jenayah rentas sempadan khasnya penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pengedaran dadah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan, Maritim Malaysia telah meningkatkan pemantauan ke atas semua jenis bot," katanya.

Katanya, orang ramai terutamanya komuniti maritim yang mempunyai maklumat atau sebarang salah laku jenayah di laut diminta bekerjasama menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan aduan melalui talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 yang beroperasi secara 24 jam.