PRN Melaka: PN tidak pernah tutup rundingan dengan BN

Mohamed Azmin (dua dari kanan) pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Jentera PN Parlimen Masjid Tanah hari ini. - Foto Bernama
Mohamed Azmin (dua dari kanan) pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Jentera PN Parlimen Masjid Tanah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menutup pintu perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) dan gabungan parti itu perlu segera memuktamadkan pendirian sama ada ingin bekerjasama atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia penting bagi memastikan persiapan jentera dapat dibuat dengan lebih efektif di peringkat akar umbi.

“Bersatu, PAS dan Gerakan kita dah sampai ke tahap untuk menghadapi hari penamaan calon namun UMNO masih belum buat keputusan muktamad. Maka, kita berharap keputusan dapat dibuat lebih awal dan tidak di saat akhir,” katanya di sini pada Ahad.

Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pertemuan bersama jentera PN Masjid Tanah dekat sini, yang turut dihadiri Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Menjelas lanjut, Mohamed Azmin memberitahu, beliau turut mendapat maklumat daripada beberapa pemimpin UMNO dan akar umbi yang mahu diwujudkan satu kerjasama dengan PN.

“Tetapi ini adalah masalah dalaman UMNO yang tak perlu kami campur. UMNO perlu buat keputusan muktamad, mahu atau tidak bekerjasama dan biarlah rakyat yang menjadi hakim menentukan parti yang menolak perpaduan, yang mahu mewujudkan kerjasama demi kestabilan negeri dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu kekal dengan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya.

Malah, ketika ditanya sama ada UMNO tidak akan bekerjasama dengan gabungan PN pada PRN Melaka kelak, Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut, sebaliknya berkata: "Saya tidak nampak ke arah itu."

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). -Bernama