'Parti politik harus bela maruah agama Persekutuan'

Mak Kah Keong
Mak Kah Keong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti politik di Malaysia harus menjadi 'pembesar suara' dan bersikap membela sekiranya maruah agama Islam sebagai agama Persekutuan dicabul.

Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Mak Kah Keong berkata, pemimpin-pemimpin negara harus memainkan peranan penting dalam isu arak kerana seorang pemimpin sepatutnya mengetahui perbezaan bukannya menimbulkan konflik.

"Biarpun ada pihak yang mengatakan perbuatan tutup kilang (arak) adalah zalim tetapi tidak perlu membetulkan apa yang salah.

"Sebagai parti politik dan juga 'penggubal polisi', saya menyeru pihak-pihak berwajib meneliti semula dasar-dasar baharu berkaitan isu ini agar memberi kebaikan kepada semua pihak," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai isu pengeluaran wiski jenama Timah yang semakin hangat dibahaskan dengan pelbagai pandangan sehingga menyentuh sensitiviti keagamaan sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Kah Keong berpandangan, rakyat Malaysia tidak mengira sama ada penjual atau pembeli harus mempunyai sikap tanggungjawab bersama dalam diri masing-masing.

"Sebagai rakyat Malaysia, wajib menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kita juga mengetahui orang Islam tidak boleh dan haram minum atau berurusan berkaitan arak.

"Jadi tanggungjawab bersama untuk memahami itu penting demi kesejahteraan negara.

Artikel Berkaitan:

"Malah kerajaan juga tidak menafikan hak-hak orang bukan Islam untuk meminum atau membuka kilang arak tetapi harus mengikut peraturan serta undang-undang Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Kah Keong turut menyeru agar semua pihak mengambil hikmah atau kebaikan kenapa Islam mengharamkan arak.