Covid-19: Doakan kesihatan pasukan NSFC pulih

Pasukan NSFC. - Foto Ihsan NSFC FB
Pasukan NSFC. - Foto Ihsan NSFC FB
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mendoakan agar kesihatan 20 pemain dan empat pegawai Negeri Sembilan Football Club (NSFC) yang disahkan positif Covid-19 segera pulih.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, menurut pihak NSFC, mereka yang disahkan positif sedang menjalani kuarantin wajib dirumah dan dipantau oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya difahamkan bahawa NSFC tidak dapat meneruskan baki saingan Piala Malaysia musim 2021.

"Saya harap penyokong dan para peminat memahami keputusan yang diambil, demi kesihatan semua pemain dan pegawai NSFC, keselamatan mereka adalah sangat penting dan mengatasi segala-galanya," kata beliau dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Kenyataan yang dikeluarkan NSFC pada Jumaat.
Kenyataan yang dikeluarkan NSFC pada Jumaat.

Tambahnya, beliau dan seluruh rakyat Negeri Sembilan akan terus mendoakan semoga mereka yang positif Covid-19 diberi kesembuhan dan kesejahteraan.

Jumaat lalu, juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC (NSFC) memaklumkan bahawa mereka tidak dapat meneruskan saingan Piala Malaysia musim ini, selepas 20 pemain serta empat pegawainya disahkan positif Covid-19.

NSFC menerusi kenyataan memaklumkan, pegawai dan pemain terbabit sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta dipantau selama 10 hari oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Artikel Berkaitan:

NSFC memaklumkan, hal itu turut menyebabkan perlawanan persahabatan menentang Kuching City FC yang sepatutnya diadakan dua hari lepas dibatalkan.