Dua pemandu positif dadah 'kantoi' di plaza tol

Ayob Khan (kanan) melihat pemandu lori (duduk, tengah) yang ditahan ketika Op Khas Bersepadu di Plaza Tol Skudai pada Ahad.
Ayob Khan (kanan) melihat pemandu lori (duduk, tengah) yang ditahan ketika Op Khas Bersepadu di Plaza Tol Skudai pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori dan pemandu pacuan empat roda diberkas dalam Op Khas Bersepadu di Plaza Tol Skudai di sini pada Ahad.

Kedua-dua lelaki berusia 40 dan 25 tahun itu ditahan selepas ujian saringan air kencing dilakukan terhadap mereka didapati positif dadah jenis heroin dan ganja.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ketika ditahan pemandu lori terbabit masih dalam keadaan khayal dan memandu secara bersendirian dalam keadaan tidak stabil.

"Semasa ditahan pada jam 9 pagi, pemandu lori itu mengaku mengambil dadah jenis heroin sebelum memulakan perjalanan dari Muar ke Pasir Gudang. Lori dengan muatan lima tan yang dipandunya itu dalam keadaan kosong.

"Pemandu lori itu menunjukkan bungkusan plastik mengandungi dadah berkenaan yang disimpan dalam beg," katanya pada sidang akhbar di Op Khas Bersepadu di Plaza Tol Skudai pada Ahad.

Anggota polis melakukan pemeriksaan beg milik pemandu pacuan empat roda yang dikesan mengambil dadah ketika Op Khas Bersepadu di Plaza Tol Skudai pada Ahad.
Anggota polis melakukan pemeriksaan beg milik pemandu pacuan empat roda yang dikesan mengambil dadah ketika Op Khas Bersepadu di Plaza Tol Skudai pada Ahad.

Ayob Khan berkata, pemandu lori akan dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, dalam operasi sama, seorang lagi penghantar barang yang memandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger turut ditahan setelah didapati positif dadah jenis ganja.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada jam 11 pagi ketika dalam perjalanan menghantar ikan hiasan dari Taman Ungku Tun Aminah ke Taman Sri Kluang, Kluang.

"Pemeriksaan ke atas lelaki itu menemukan ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja di dalam beg milik suspek," katanya.