X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Selesaikan isu parkir di Putrajaya

Tular rakaman CCTV memaparkan lori berwarna putih (dalam bulatan) terlebih dahulu dilihat melanggar sebuah kereta berwarna merah dan sebuah lagi kenderaan.
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan kerajaan agar mengambil pendekatan dan penyelesaian bersifat menyeluruh supaya masalah kekurangan parkir di Putrajaya tidak berlarutan.

Ia susulan insiden sebuah lori yang melanggar lebih 10 buah kereta di Kompleks E, Putrajaya baru-baru ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, walaupun lokasi kejadian tersebut digazetkan sebagai kawasan yang tidak dibenarkan untuk parkir kenderaan, ia seharusnya membuka mata semua pihak agar perkara yang sama tidak berulang pada masa akan datang.

Menurutnya, isu kekurangan tempat letak kereta untuk orang awam di Putrajaya bukan perkara baharu kerana ia telah dibangkitkan sejak perpindahan kumpulan pertama penjawat awam ke situ sejak 1999.

"Cuepacs percaya orang awam dan kakitangan kerajaan yang meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar kawasan pentadbiran kerajaan di Putrajaya bukanlah sengaja untuk meletakkan kenderaan di kawasan tersebut sekiranya mempunyai alternatif lain.

"Difahamkan pihak berkuasa akan menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan insiden dan ia mungkin akan diperluaskan ke kawasan lain di Putrajaya.

"Cuepacs berharap pihak berkuasa tidak mengambil tindakan drastik seperti mengeluarkan saman atau menunda kenderaan yang diletakkan di bahu jalan selepas insiden tersebut berlaku,"katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Adnan menjelaskan, pihaknya tidak berniat untuk mencampuri urusan pihak berkuasa namun menyarankan pendekatan yang lebih mesra seperti memberi peringatan atau nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan saman atau apa jua langkah perundangan lain diambil.

"Walaupun pihak berkuasa sudah meluaskan kawasan tempat letak kereta, pertambahan jumlah kakitangan kerajaan di Putrajaya serta kehadiran orang awam yang lebih ramai menjadikan kawasan yang sedia padat semakin sesak.

"Cuepacs melihat kemudahan Park & Ride sebagai inisiatif yang bagus tetapi berharap kerajaan mengkaji mengapa ia tidak menjadi pilihan penjawat awam serta pengunjung dan bekerja di Putrajaya,"katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!