'Tiada kerjasama dengan Bersatu? Itu pendirian Zahid, bukan akar umbi'

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

MASJID TANAH- Pengarah Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu membuat keputusan sama ada mahu bekerjasama dengan gabungan itu atau sebaliknya.

Ujar Azmin, meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan bahawa tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun akar umbi UMNO jelasnya mahukan sebaliknya.

"Itu Presiden UMNO, pandangan beliau. Saya juga dapat maklumat daripada pemimpin dan akar umbi UMNO mereka mahu diwujudkan kerjasama dengan PN.

"Ini masalah dalaman UMNO yang tidak perlu kami campur. UMNO perlu buat keputusan muktamad, mahu atau tidak bekerjasama dan biarlah rakyat jadi hakim menentukan parti mana menolak perpaduan dan parti mahu mana mewujudkan kerjasama demi kestabilan negeri dan negara," jelasnya.

Tambah Ahli Parlimen Gombak itu, PN tidak pernah menutup pintu perbincangan dengan UMNO dan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Justeru UMNO ujarnya, perlu membuat keputusan segera dan tidak terlalu lewat menjelang hari penamaan calon pada 8 November depan.

"Kita tidak pernah tutup pintu perbincangan tetapi masa itu penting untuk kita buat keputusan awal bagi jentera lebih efektif di peringkat akar umbi.

"Pas dan Gerakan dan Bersatu, kita dah sampai ke tahap untuk menghadapi hari penamaan calon namun UMNO masih lagi belum membuat keputusan yang muktamad, maka kita berharap keputusan dapat dibuat lebih awal dan tidak di saat akhir.

Artikel Berkaitan:

"Kerana Bersatu, Pas, Gerakan dalam PN, perpaduan itu amat penting hadapi cabaran semasa," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan jentera PN Parlimen Masjid Tanah di Dewan Dato Abu Seman pada Ahad. -Awani