Bajet 2022: Terengganu harap sektor pelancongan diberi perhatian

Ariffin
Ariffin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu berharap Bajet 2022 yang akan dibentangkan kerajaan Persekutuan pada 29 Oktober ini turut memberi tumpuan pada sektor pelancongan yang menjadi pemangkin ekonomi rakyat.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia sejajar dengan tumpuan yang diberikan kerajaan terhadap beberapa negeri yang mempunyai potensi besar dalam sektor berkenaan.

"Kita yakin tahun depan dan menjelang Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) kita mempunyai bajet yang mencukupi dalam sektor ini.

"Tambahan pula, kerajaan Pusat telah pun meletakkan beberapa negeri yang perlu diberi perhatian kerana berpotensi besar dalam sektor berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau Terengganu juga telah menjalinkan kerjasama baik bersama kerajaan Pusat bagi memberi tumpuan terhadap sektor berkenaan.

"Tahun ini kita dapat bajet yang agak besar. Kita harap tahun depan dan RMK12 kita juga dapat bajet yang mencukupi. Kerajaan juga telah meletakkan beberapa negeri yang bukan mundur, tetapi perlu diberi perhatian kerana berpotensi antaranya Terengganu, Kelantan dan Kedah, " katanya.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, Bajet 2022 akan memberi fokus terhadap tiga perkara utama (3M) iaitu memulih kehidupan; membina semula daya tahan dan memangkin pembaharuan.

Artikel Berkaitan: