Tuntutan Sarawak dalam MA63 demi kepentingan Malaysia

Amar Awang Tengah
Amar Awang Tengah
A
A
A

KUCHING - Tuntutan Sarawak ke atas hak-haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah untuk kepentingan negeri itu semata-mata tetapi turut mengambil kira kepentingan Malaysia, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, rundingan mendapatkan kembali hak-hak yang terhakis sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ini merupakan di antara agenda yang terus diperjuangkan oleh kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam hal berkaitan MA63.

"Kita akan terus memperjuangkannya, kerana ini adalah hak kita yang seharusnya dikembalikan, dan bersyukur telah ada venue untuk membincangkan perkara ini. Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) meneruskan Mesyuarat Majlis Khas MA63.

“Kita telah mencapai banyak yang kita tuntut, mana-mana yang masih belum dicapai, komitmen untuk meneruskan perbincangan bagi menyelesaikan masalah-masalah ini diteruskan,” katanya dalam wawancara khas di pejabatnya baru-baru ini.

Menurutnya, perkara itu diperjuangkan bukan sahaja untuk Sarawak juga mengambil kira kepentingan negara, supaya Malaysia akan sentiasa terus maju ke depan dan memiliki semangat perpaduan serta kesepakatan yang tinggi.

Awang Tengah berkata, kerajaan Sarawak mengambil dasar menumpukan kepada usaha pembangunan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyatnya sejak dari era pentadbiran Ketua Menteri keempatnya Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, yang kini adalah Yang Dipertua Negeri Sarawak.

“Sehinggalah kepada Allahyarham Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem), sekarang Abang Jo (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) sebagai ketua menteri, Sarawak dapat mengekalkan kestabilan politik dan juga kerajaan yang stabil (dan) dasar yang tidak mahu meminggirkan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata, walaupun rakyat Sarawak terdiri dari berbilang kaum dan agama, perbezaan ini telah menjadi kekuatan kepada mereka untuk hidup dalam keadaan yang harmoni dan bersatu padu.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Ketua Menterinya telah menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menjaga kesejahteraan penganut agama lain selain Islam di negeri ini dan langkah ini diterima masyarakat Islam Sarawak.

“Kita sudah ada Majlis Agama Islam (Sarawak), ada Jabatan Agama Islam dan kita tubuh UNIFOR ini untuk mewujudkan satu masyarakat yang harmoni, hidup bersatu padu walaupun berbeza fahaman agama dan ini disambut baik oleh masyarakat kita,” katanya.

Awang Tengah berkata, rakyat perlu terus bersama-sama mempertahankan kestabilan politik dan keutuhan kerajaan sekarang kerana ia penting bagi mewujudkan ekosistem pelaburan dan persekitaran yang kondusif. - Bernama