Perkeso bantu 4,864 penduduk Sabah dapat pekerjaan

Hajiji melancarkan Karnival Kerjaya Urban Poor Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021 di Dataran Astaka Padang Tuaran.
Hajiji melancarkan Karnival Kerjaya Urban Poor Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021 di Dataran Astaka Padang Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Inisiatif kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya membantu seramai 4,864 penduduk Sabah memperoleh pekerjaan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, seramai 7,141 rakyat Sabah juga telah berjaya kembali bekerja berdasarkan statistik yang dikeluarkan Perkeso Sabah pada tahun 2020.

"Jelaslah bahawa inisiatif yang diberikan oleh pihak kerajaan melalui Perkeso di bawah program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) memberi impak yang positif, sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran rakyat.

"Ini merupakan satu langkah yang amat baik dalam proses negara memulihkan dan merancakkan kembali ekonomi negara," katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya Urban Poor Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021 di Dataran Astaka Padang Tuaran, pada Ahad.

Hajiji berkata, kerajaan sentiasa bersedia berhadapan dengan isu pemberhentian kerja dan pengangguran ketika negara sedang menghadapi pandemik Covid-19.

"Kerajaan telah mengambil langkah proaktif tanpa menunggu keadaan menjadi bertambah serius. Dalam tempoh pandemik Covid-19 bermula Mac tahun lalu hingga September ini, Perkeso Sabah telah berjaya menganjurkan sebanyak 307 aktiviti temuduga termasuk secara maya dan fizikal yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai industri serta majikan.

"Selain itu, bagi memudahkan lagi proses temuduga dalam talian, Perkeso Sabah telah mengadakan kerjasama strategik dengan Pusat Internet Desa bagi memastikan capaian internet untuk pencari kerja di luar bandar dapat diakses dengan mudah," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji memberitahu, sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Perkeso telah menjalinkan kolaborasi strategik bersama kerajaan negeri dalam membantu menstabil dan menguruskan hal berkaitan pasaran buruh menerusi aktiviti perkhidmatan pekerjaan yang dilaksanakan secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat usaha ini akan membantu lebih ramai belia dan lepasan sekolah di negeri ini untuk mendapat peluang pekerjaan termasuk dalam pelbagai sektor industri," katanya.