Keadaan banjir makin pulih, jumlah mangsa di tiga negeri menurun

Banjir di Kampung Sri Tanjung, Dengkil. -Foto Bernama
Banjir di Kampung Sri Tanjung, Dengkil. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Selangor, Melaka dan Perak semakin pulih apabila jumlah mangsa serta pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di Selangor, portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan sehingga 8.28 pagi tadi, jumlah PPS beroperasi di Sepang semakin berkurang daripada enam PPS yang dibuka semalam kepada tiga dan kini hanya menempatkan 55 mangsa daripada 15 keluarga.

Tiga PPS yang masih dibuka itu adalah di Sekolah Rendah Agama Kampung Giching (34 mangsa), Sekolah Rendah Agama Kampung Labu Lanjut (20 mangsa) dan Balai MPKK Kampung Giching yang kekal menempatkan seorang mangsa banjir.

Jumlah mangsa banjir di Melaka pula terus menurun pada jam 8 pagi Ahad membabitkan 99 mangsa daripada 29 keluarga berbanding 305 mangsa daripada 83 keluarga pada 4 petang Sabtu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata, 38 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.

“Di Alor Gajah, 34 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS SK Durian Tunggal, 19 mangsa daripada empat keluarga di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan lapan mangsa daripada tiga keluarga di PPS SK Telok Berembang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, di Perak, jumlah mangsa banjir pada pagi Ahad kekal 19 orang melibatkan enam keluarga dari dua kampung yang ditempatkan di dua PPS sejak kediaman dan tempat tinggal mereka dinaiki air pada Rabu lalu.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, jumlah tersebut membabitkan sembilan lelaki dan 10 perempuan dari Kampung Sungai Temelok, Trong, Taiping dan Kampung Sungai Rentaka, Matang, masing-masing ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Temelok dan PPS Sekolah Kebangsaan Matang. - Bernama

Artikel Berkaitan: