Mamat Khalid 'hero' perpaduan: Halimah Sadique

Halimah
Halimah
A
A
A
PENGARAH filem tersohor, Allahyarham Mamat Khalid adalah seorang wira yang turut memperjuangkan agenda perpaduan.

Dalam satu kenyataan media, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique menganggap pengarah tersebut sebagai insan seni yang hebat apabila turut membantu memberikan sumbangan tidak ternilai kepada negara melalui karya seninya.

Katanya, melalui karya filem yang menjadi tontonan pelbagai kaum dan peringkat usia, pengarah filem tersohor itu telah meninggalkan legasi indah dengan menghantar pelbagai mesej perpaduan kaum di dalam karya-karya besarnya.

"Beliau adalah seorang pengkarya, ahli seni yang patut dicontohi semua.

"Karya seni adalah medium yang dapat dijadikan sebagai platform penyatuan bangsa dan kaum di negara ini.

"Sebagaimana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang meninggalkan legasi seni sehingga berdekad-dekad lamanya kepada seluruh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, saya melihat Mamat Khalid juga begitu.

"Ada nilai kemasyarakatan, nilai perpaduan kaum, nilai kebersamaan melalui karya-karya Mamat," kata Halimah.

Halimah turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pengarah filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah itu atas kembalinya beliau ke rahmatullah.

Mamat khalid, 58, meninggal dunia lewat malam tadi, di Hospital Slim River, Perak ekoran serangan jantung.

Artikel Berkaitan:

Mamat yang juga adik kepada kartunis tersohor negara, Datuk Lat meninggalkan seorang balu, Hasmah Hassan dan lima anak. -Awani