Gadai maruah demi kejar kemewahan

Nur Farihah
Nur Farihah
A
A
A

INGINKAN gaya hidup dan dilihat mewah adalah antara sebab utama yang menjadi punca sebilangan besar belia terjebak dalam gejala rasuah.

Ikuti wawancara kru Rasuah Busters, Hisyamuddin Ayub bersama Exco Belia dan Media Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Nur Farihah Meor Mazli yang mengulas lanjut mengenai isu tersebut.

Rasuah Busters: Apakah yang mendorong belia menerima rasuah? Adakah kerana terjebak dengan gaya hidup mewah atau desakan hidup?

Nur Farihah: Jika bercakap mengenai sogokan duit, selalu kita mendengar kes-kes rasuah hanya melibatkan orang dewasa atau mereka yang sudah berada di alam pekerjaan dan mempunyai kedudukan yang stabil. Namun tidak dinafikan segelintir belia atau pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) turut terjebak dengan gejala tidak bermoral ini.

Jika dilihat pada kajian persepsi rasuah yang dikelolakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2003, hampir 40 peratus mahasiswa cenderung untuk menawarkan atau menerima rasuah, manakala 15.7 peratus responden mengaku berpengalaman dalam tingkah laku rasuah. Faktor keterdesakan hidup atau pengaruh gaya hidup mewah bukanlah alasan utama mengapa seseorang itu terlibat dengan jenayah rasuah.

Saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa gejala rasuah di IPT wujud disebabkan kurangnya penghayatan terhadap nilai-nilai agama dan diskusi berkala mengenai integriti rakyat sebagai individu bermaruah, amanah serta jujur.

Bila kita mahu berbual soal halal dan haram akan kedengaran suara sumbang yang mengatakan kita kolot atau terlalu sempit pemikiran. Tetapi hakikatnya, disebabkan belia gagal untuk berfikir tentang punca keberkatan rezeki lantas terlalu gilakan 'kejayaan' akademik atau jawatan dalam sesebuah organisasi, maka rantaian memberi dan menerima rasuah itu tidak pernah putus.

Tatkala prinsip agama dan undang-undang ditolak mentah-mentah, maka sebaik sahaja mereka keluar daripada universiti dengan tanpa rasa segan silu akan cuba mempraktikkan amalan sama di dalam sektor pekerjaan pula.

Artikel Berkaitan:

Apakah belia tidak meyakini rezeki halal dan berkat antara punca mereka memilih menerima rasuah?

Ya saya setuju. Terang lagi bersuluh bagi seseorang Muslim bahawa kepercayaan kepada prinsip halal dan haram itu menjadi sebahagian dasar kepada pegangan agama seseorang.

Perkara ini sudah diingatkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW sendiri yang bersabda, daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud: "Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh: Apakah dari jalan yang halal atau haram?" (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini memberi gambaran bahawa perkara halal atau haram semakin hari semakin diketepikan kerana unsur cintakan kemewahan atau kepentingan memiliki harta atau kuasa itu lebih 'mulia' daripada soal agama dan akhlak.

Mungkin kerana ramai pihak termasuklah anak muda sudah melupakan hukum riba menurut Islam yang ditegah kerana ia berteraskan kezaliman dan ketidakadilan kepada masyarakat serta individu.

Al-Sha'bi RA pernah berkata: Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, saksinya dan penulisnya". (Hadis Riwayat al-Nasa'i).

Apakah kesan kepada belia sekiranya mereka ditangkap kerana kesalahan rasuah yang dibuat?

Umum mengetahui bahawa peruntukan bagi jenayah rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) turut mengambil kira kesalahan yang dilakukan oleh para belia yang sudah pun mencapai umur majoriti dan selayaknya diberi hukuman setimpal sebagaimana dihadapi orang dewasa lain.

Akta 694 memperuntukkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan seperti meminta atau menerima rasuah, menawar atau memberi suapan, mengemukakan tuntutan palsu, dan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.

Sebagai contoh, Seksyen 17 (b) Akta 694 menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah adalah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah. Jika sabit kesalahan boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah, dengan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Pelajar di IPT sepatutnya lebih risau akan masa hadapan mereka kerana jika mereka ditangkap dan disabitkan kesalahan di mahkamah kerana rekod mereka akan dimasukkan ke dalam sistem Akta Pendaftaran Rekod Jenayah. Bahkan ia terpakai buat sesiapa sahaja yang didakwa dan kemudiannya dijatuhkan hukuman, maka rekod ini akan disimpan dalam sistem rekod polis selama 99 tahun.

Lebih mendukacitakan, para belia akan menghadapi kesukaran sewaktu mencari pekerjaan kerana kebiasaannya bakal majikan akan dapat mengenal pasti rekod lampau.

Lebih parah jika ada yang ingin melanjutkan pengajian tetapi pihak universiti boleh mendapatkan rekod polis dan mereka juga berhak menggugurkan mana-mana pesalah dari sistem pendaftaran pelajar semasa.

Bagaimana mahu mendidik belia untuk membenci amalan rasuah?

Antara cara pendidikan terbaik untuk memberhentikan gejala rasuah dalam kalangan belia mahupun golongan dewasa ialah dengan menghayati semula pesanan dan tegahan agama dalam soal riba atau rasuah.

Selain itu, pelaksanaan undang-undang perlu lebih adil dalam menghukum koruptor yang memakan hasil jutaan ringgit untuk kepentingan peribadi atau organisasi dengan menjatuhkan hukuman berat lagi menggerunkan seperti penjara mandatori atau sebat di khalayak umum.

Selain itu, kempen pencegahan rasuah harus dijalankan secara konsisten di peringkat pengajian tinggi dengan mengambil kira indeks pencapaian akademik serta kokurikulum seseorang pelajar.

Hal ini dapat membantu pihak pentadbir memantau segala perkembangan aktiviti semasa para penuntut agar mereka tidak terjebak dengan sebarang pelanggaran peraturan atau polisi institut pengajian.

Adakah perasaan tamak dan kerakusan mengumpul harta menjadikan belia terjebak dengan rasuah?

Belia akan terjebak dengan jenayah rasuah selagi mereka kekal diperdaya dan dimanipulasi dengan 'keseronokan' ganjaran atau habuan yang bersifat sementara.

Sebagai contoh, apabila seseorang itu menawarkan wang ringgit atau tubuh badan kepada si pensyarah demi menaikkan gred atau meluluskan peperiksaan, maka individu itu berasa yakin bahawa hajatnya akan ditunaikan. Apabila hajat itu tercapai, maka si pelaku akan cuba mengulangi perkara sama sehingga beliau akhirnya mampu menamatkan pengajian dengan sumber ilmu yang haram dan tidak diberkati.

Kitaran toksik ini akan sentiasa berputar kerana wujudnya trend menunjuk-nunjuk harta di usia muda yang semakin dinormalisasikan di sosial media. Akibatnya, masing-masing berlumba untuk mempamerkan kelebihan seperti sijil akademik palsu peringkat doktor falsafah atau memperlihatkan kekayaan seperti rumah agam atau kereta mewah demi menarik perhatian ramai.

Saya berpandangan sekiranya budaya terlalu cintakan dunia ini berterusan, seseorang anak muda itu boleh menjadi rakus, tamak malah akan terperangkap dalam kegiatan rasuah dek mentaliti 'jalan mudah' itu tadi.

Kenapa memilih jalan mudah dengan sanggup menggadaikan maruah diri menerima rasuah?

Amalan menerima atau memberi rasuah mungkin tampak sebagai satu jalan mudah bagi belia untuk mendapatkan sesuatu tetapi realitinya ia tidak sebegitu. Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk akhirnya berjaya 'menjalankan' sesuatu aktiviti jenayah.

Bukan sahaja mereka perlu mengeluarkan duit yang banyak, mengorbankan jawatan atau kuasa yang dimiliki, malah ada yang sanggup menggadai body (tubuh badan) demi kepuasan untuk mendapatkan habuan atau ganjaran dari segelintir pihak berkepentingan.

Disebabkan tiada lagi sifat malu dalam diri, hilang rasa hormat pada sistem perundangan negara dan prinsip agama bahkan menolak tepi nilai moraliti, inilah yang menyebabkan anak muda turut terpalit dengan amalan rasuah yang cukup ditegah akibat kesan negatifnya.

Kesannya amat buruk buat seluruh rakyat kerana pelbagai kebejatan sosial malah peningkatan kes jenayah sivil juga di mahkamah syariah direkodkan akibat bencana rasuah yang tidak dapat dikawal.

Saya berpesan agar belia jangan sesekali cuba mencalit arang ke muka agama, bangsa serta negara akibat kepentingan nafsu berbanding akal dan agama.