Rakyat Malaysia mula culas SOP?

Faktor rentas negeri dibimbangi menjadi punca utama lonjakan kes harian baharu Covid-19 dalam negara dalam tempoh terdekat ini. - Foto Bernama
Faktor rentas negeri dibimbangi menjadi punca utama lonjakan kes harian baharu Covid-19 dalam negara dalam tempoh terdekat ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEJAK kerajaan menarik semula sekatan rentas negeri pada 11 Oktober lepas, aktiviti ekonomi dan pelancongan khususnya kembali rancak berjalan.

Tidak ketinggalan bagi rakyat negara ini yang mengambil peluang untuk kembali ke kampung halaman bertemu keluarga tersayang dan melancong bersama keluarga setelah lebih setahun 'terkurung' dengan pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan.

Namun, di sebalik kegembiraan dan keghairahan rakyat Malaysia kembali beraktiviti, mula kedengaran isu-isu yang tidak enak didengar.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar misalnya, memberi peringatan kepada orang ramai khususnya ahli politik untuk sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa, ramai ahli politik ketika ini dilihat mengabaikan pemakaian pelitup muka ketika menghadiri sebarang pertemuan atau mesyuarat.

Malah, beliau menyatakan itu bukanlah peringatan ringan dan meminta semua pihak sentiasa memakai pelitup muka terutamanya ahli politik.

Kerisauannya berasas, dengan mengambil contoh United Kingdom yang ketika ini sedang menghadapi gelombang baharu Covid-19 disebabkan keengganan mereka untuk memakai pelitup muka.

Lebih merisaukan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat mengunjurkan purata kes sebanyak 7,576 untuk tempoh lima hari akan datang.

Artikel Berkaitan:

Malah, tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan mencatat peningkatan sejak kerajaan menarik semula sekatan rentas negeri pada 11 Oktober lepas.

Faktor rentas negeri dibimbangi menjadi punca utama lonjakan kes harian baharu Covid-19 dalam negara dalam tempoh terdekat ini.

Kemuncak kerisauan ramai pihak adalah pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dibimbangi mengulangi kembali gelombang pandemik Covid-19 selepas PRN Sabah pada tahun lepas.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad memberitahu, prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka hanya dijangka dimuktamadkan pada minggu hadapan.

Jelasnya, perbincangan berkaitan SOP berkenaan telah mencapai peringkat akhir, dengan garis panduan untuk memperhalusi perkara itu sudah mencapai tahap 75 hingga 80 peratus.

Menjadi harapan seluruh rakyat agar kita dapat melalui fasa-fasa seterusnya dengan lebih tenang, tanpa perlu lagi berdepan dengan lonjakan kes dan kemungkinan sekatan pergerakan sekiranya situasi Covid-19 kembali buruk.

Namun, ia memerlukan kerjasama semua pihak dalam merealisasikannya dan yang paling penting adalah tidak culas dalam mematuhi SOP.

Pastinya kita mahu Covid-19 ini lenyap sama sekali, seterusnya meneruskan kehidupan seperti biasa termasuklah menunaikan impian dan kewajipan menunaikan haji dan melaksanakan ibadah umrah yang tertangguh lebih setahun lalu.