PM lancar Yayasan Keluarga Malaysia

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUCHING - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia sebagai manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia terhadap anak-anak yang terkesan pandemik Covid-19.

Pengumuman itu dibuat sempena Pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, di sini pada malam Sabtu.

Ismail Sabri menjelaskan, Yayasan Keluarga Malaysia merupakan institusi yang akan membantu anak-anak Keluarga Malaysia dalam memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

“Hari ini, dalam usaha kita memeta perjalanan pemulihan, melalui pelbagai program dan inisiatif, saya ingin berkongsi kisah untuk kita insafi bersama.

“Kisah 13 anak yang masih kecil usianya daripada dua buah keluarga, hilang tempat bergantung dan berpaut kasih.

Adik Nazurah Nabilah Benyajeed, berusia 19 tahun yang terpaksa menjaga tujuh adiknya manakala adik Hadrami Hasil menjadi kepala keluarga pada usia 11 tahun untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama empat adiknya.

Ironinya, adik bongsu Hadrami baru berusia 3 tahun.

“Anak-anak ini antara 5,173 anak Keluarga Malaysia yang menjadi yatim dan yatim piatu kerana wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Bayangkan, betapa besarnya tanggungjawab yang digalas mereka. Mereka bukan sahaja hilang ibu bapa, bahkan waktu-waktu bahagia, membesar sebagai kanak-kanak biasa.

“Maka, dengan rasa rendah diri, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak ini, agar mereka dapat menikmati kehidupan seperti rakan-rakan seusia mereka,” katanya.

Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo, di Kuching pada malam Sabtu.
Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo, di Kuching pada malam Sabtu.

Program turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa

Mengulas lanjut, beliau berkata, yayasan ini akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang lain yang turut memerlukan sokongan seumpamanya.

Jelasnya, penubuhan yayasan itu adalah maksud sebenar keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam Keluarga Malaysia.

“Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia bersama membantu generasi ini. Harapan saya, dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian.

“Justeru, tinggi harapan saya agar seluruh Keluarga Malaysia kekal bersama dengan mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” ujar beliau.

Sementara itu katanya, pelbagai program dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan di bawah payung Keluarga Malaysia, termasuklah Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan Covid-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri melancarkan Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo, di Kuching pada malam Sabtu.
Ismail Sabri melancarkan Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo, di Kuching pada malam Sabtu.

“Inilah program dan inisiatif Keluarga Malaysia, setiap kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat. Saya berharap ia turut disokong oleh kerajaan negeri.

“Justeru, suka saya ingatkan agar setiap ahli Jemaah Menteri dan kementerian untuk terus konsisten memberi tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. Ini tanggungjawab utama yang telah saya amanahkan kepada mereka,” jelasnya.