Sarawak antara enam negeri tumpuan khusus RMK12

Sarawak antara enam negeri yang diberi tumpuan khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Sarawak antara enam negeri yang diberi tumpuan khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
A
A
A

KUCHING - Sarawak antara enam negeri yang diberi tumpuan khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dalam merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejajar dengan pembangunan sosio ekonomi negara, negeri yang kurang membangun akan terus diberi keutamaan agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.

“Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas Persekutuan dalam RMK12 akan diagihkan kepada enam negeri itu melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

“Pendekatan yang sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan,” katanya pada Pelancaran Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo, di sini pada malam Sabtu.

Program itu turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan bukan retorik atau slogan semata-mata tetapi merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara yang mementingkan kesejahteraan rakyat seperti menjaga sebuah keluarga.

Katanya, tiga teras utama digariskan di bawah lembayung Keluarga Malaysia, iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Teras ini jelasnya, akan menjunjung nilai-nilai Keluarga Malaysia berpaksikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

Artikel Berkaitan:

“Begitu juga dalam pentadbiran kerajaan, Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik, akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan-bantuan kerajaan.

“Dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang khususnya Sabah dan Sarawak dalam usaha memastikan kita membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” ujarnya.