'Bayar segera pemaju, kontraktor sebaik projek siap'

Mohamad Zulkefly (dua dari kiri) ketika meninjau projek jalan pesisir pantai Labuan, di Labuan.
Mohamad Zulkefly (dua dari kiri) ketika meninjau projek jalan pesisir pantai Labuan, di Labuan.
A
A
A

LABUAN - Bayaran segera perlu dibuat kepada pemaju dan kontraktor selepas projek pembinaan yang dilaksanakan diperakui siap.

Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata, ia penting dalam usaha membantu kontraktor dan pemaju yang terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain menangani isu kelewatan projek.

"Dalam jangka panjang, ia akan membantu menjana semula pertumbuhan ekonomi kita," katanya ketika melawat tapak projek jalan pesisir pantai Labuan di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Labuan, Ir Suhaizad Sulaiman.

Projek jalan pesisir pantai Labuan yang bernilai RM132 juta membabitkan sepanjang 5.1 kilometer dari Membedai ke Tanjung Aru.

Projek itu yang kini mencapai 98.7 peratus siap membabitkan pembinaan jalan baharu satu lorong dua hala sepanjang empat kilometer dan 1.1 kilometer jalan sedia ada yang dinaik taraf.

Pembinaan projek itu bermula sejak Disember 2017 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 akan menjadi laluan alternatif menghubungkan antara kawasan utara Pulau Labuan ke bandar Labuan.

Sekurang-kurangnya 35 peratus pengguna jalan raya khususnya pengguna dari Kampung Lubuk Temiang, Ganggarak, Tanjung Aru, Kerupang dan Nagalang menerima manfaat daripada pelaksanaan projek itu.

Artikel Berkaitan: