Sidek Ali tonjol keindahan Tumpat menerusi lensa telefon pintar

Sidek Ali menunjukkan bunga keladi bunting yang kini mula mengeluarkan bunga berwarna ungu ketika tinjauan di Kampung Kok Bedollah. - Foto Bernama
Sidek Ali menunjukkan bunga keladi bunting yang kini mula mengeluarkan bunga berwarna ungu ketika tinjauan di Kampung Kok Bedollah. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Hampir setiap hari Sidek Ali Hassin mengerah keringat di kebun lada solok miliknya di Kampung Tujuh di sini.

Selain menjalani rutin harian itu, pemuda berusia 34 tahun berkenaan turut memanfaatkan masa terluang dengan mengambil gambar pemandangan di sekitar kebun dan daerah itu lalu memuat naik di Facebook sekali gus gambar dihasilkan menerusi telefon pintar itu dinantikan warga maya.

Terbaharu, perkongsian beliau mengenai gambar bunga keladi bunting yang memenuhi kawasan tali air di Kampung Kok Bedollah di sini berjaya mencuri tumpuan ramai.

Panorama keindahan bunga keladi bunting menjadi landskap di tali air yang kini mula mengeluarkan bunga berwarna ungu ketika tinjauan di Kampung Kok Bedollah. - Foto Bernama
Panorama keindahan bunga keladi bunting menjadi landskap di tali air yang kini mula mengeluarkan bunga berwarna ungu ketika tinjauan di Kampung Kok Bedollah. - Foto Bernama

Sidek Ali yang ditemui Bernama berkata, beliau mula berkongsikan gambar menarik di sekitar Tumpat menerusi akaun Facebooknya Sidek Ali kira-kira tiga tahun lepas.

"Memang hobi saya mengambil gambar. Hampir setiap petang saya akan ronda sekitar kampung cari tempat menarik.

“Sebenarnya banyak tarikan di daerah ini antaranya lokasi bunga keladi bunting ini. Tahun ini sahaja, sudah dua kali kawasan tali air ini berbunga dan secara tidak langsung menghasilkan pemandangan yang sangat cantik dan menarik," kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

Bunga keladi bunting atau nama saintifiknya 'Eichhornia crassipes' ialah sejenis pokok bunga berwarna putih ungu.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Bernama di kampung tersebut mendapati kawasan tali air sepanjang lebih 200 meter itu dihiasi bunga keladi bunting yang tumbuh meliar.

Sidek Ali menikmati panorama keindahan bunga keladi bunting yang menjadi landskap di tali air dan kini mula mengeluarkan bunga berwarna ungu ketika tinjauan di Kampung Kok Bedollah. - Foto Bernama
Sidek Ali menikmati panorama keindahan bunga keladi bunting yang menjadi landskap di tali air dan kini mula mengeluarkan bunga berwarna ungu ketika tinjauan di Kampung Kok Bedollah. - Foto Bernama

Bercerita lanjut, Sidek Ali berkata, beliau yakin masih banyak kawasan menarik di daerah itu yang belum diteroka sepenuhnya.

"Fotografi menggunakan telefon pintar tidaklah begitu sukar dan banyak sebenarnya lokasi menarik yang kita boleh bantu promosi kepada orang ramai.

"Setakat ini, semua perkongsian saya menerusi media sosial mendapat respons positif malah ada antara mereka tidak tahu lokasi menarik yang masih boleh dikunjungi," katanya. - Bernama