Majlis Presiden PH gesa SPRM siasat projek TSGP, MPP

Kenyataan Majlis Presiden PH.
Kenyataan Majlis Presiden PH.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sepenuhnya projek Saluran Paip Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) bernilai RM9.4 bilion.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya terkejut dengan keputusan kerajaan menghidupkan semula projek TSGP seperti yang dijawab Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen baru-baru ini.

“Bayaran telah dibuat ke atas kedua-dua projek TSGP dan MPP yang diluluskan zaman Barisan Nasional (BN) sebanyak 88 peratus daripada nilai pembinaan atau RM8.3 bilion, walaupun kemajuan kerja yang belum diaudit hanya 13 peratus setakat Mei 2018.

“Nilai pembinaan keseluruhan TSGP dan MPP ialah RM9.4 bilion tanpa mengambil kira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Justeru, kenyataan itu menggesa, SPRM wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek TSGP dan MPP yang telah gagal dimulakan semula pada 10 Februari 2021 oleh Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Sebelum ini, media melaporkan Tengku Zafrul mendedahkan kesinambungan projek itu dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin mengenai status perbincangan kerajaan dengan China mengenai pampasan bagi projek TSGP dan MPP yang dibatalkan.

Dalam perkembangan sama, Majlis Presiden PH turut menggesa SPRM melipat gandakan usaha menyiasat isu Pandora Papers yang telah menamakan sejumlah tokoh korporat dan ahli politik yang didakwa memiliki akaun luar pesisir (off-shore accounts).

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, siasatan juga perlu dibuat dan sama ada duit yang disimpan dalam akaun tersebut berasal dari sumber yang sah atau daripada kegiatan yang melanggar undang-undang.

“Adalah mendukacitakan jika SPRM tiada keupayaan memperoleh maklumat khusus dan perlu bertanyakan Ketua Pembangkang tentang Pandora Papers sungguhpun beliau tidak memiliki sumber seperti yang dimiliki SPRM malah tiada kepakaran siasatan khas berkait isu ini,” kata kenyataan itu.