Perlu sokong usaha kerajaan tuntut kembali Pulau Batu Puteh

Pulau Batu Puteh. (Gambar kecil, Kamarul Zaman)
Pulau Batu Puteh. (Gambar kecil, Kamarul Zaman)
A
A
A

ALOR SETAR - Rakyat perlu menyokong keputusan kerajaan mewujudkan pasukan petugas khas bagi melakukan kajian menyeluruh dan cadangan berhubung kes Pulau Batu Puteh.

Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, kesediaan kerajaan untuk mengkaji tindakan undang-undang ke atas pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dalam kes berkenaan juga harus dipuji.

Menurutnya, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu menunjukkan keberanian untuk membongkar kisah sebenar yang menyebabkan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh termasuk hilang peluang menuntutnya sebelum ini.

“Artikel 60 Statut Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyatakan keputusan ICJ adalah muktamad dan tidak boleh dirayu, tetapi pada masa sama Artikel 61 Statut ICJ membenarkan semakan semula dalam tempoh 10 tahun dari tarikh penghakiman berdasarkan kepada beberapa faktor,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Kamarul Zaman berkata, ia diasaskan kepada penemuan fakta baharu yang boleh menjadi faktor penentu, di mana fakta berkenaan tidak diketahui ICJ dan pihak yang membuat semakan semula ketika penghakiman dilakukan dan bukan berpunca daripada kelalaian.

"Ia juga perlu dilakukan dalam tempoh kurang enam bulan selepas fakta baharu ditemui.

“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh menggunakan hujah ‘jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan’.

"Janji untuk tidak merayu bukan isu sebaliknya ketidaktahuan beliau membezakan rayuan dan semakan semula. Amat memalukan apabila pemimpin tertinggi negara gagal mengambil peluang mendapatkan kembali kedaulatan negaranya yang hilang setelah peluang terbuka menerusi semakan semula yang memenuhi semua faktor dikehendaki Statut ICJ,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hujah Dr Mahathir mempertahankan tindakan beliau amat lemah apabila mendakwa ‘kerajaan Johor melalui surat telah menyatakan Johor tidak menuntut Pulau Batu Puteh sebagai milik kerajaan Johor’.

“Beliau sendiri sebelum itu pertikaikan keputusan ICJ. Beliau seolah cuba pertahankan tindakan sama ada naif atau cuba bohongi rakyat dengan menyebut Malaysia dan Singapura bersetuju merujuk kes ke ICJ dan keputusan ICJ adalah muktamad dan tidak ada rayuan terhadapnya,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, Dr Mahathir gagal menjaga kedaulatan negara dan ingkar titah Raja-Raja Melayu apabila kerajaan pimpinan beliau menarik balik semakan ke atas keputusan ICJ bahawa Pulau Batu Puteh merupakan milik Singapura pada 28 Mei 2018.

“Penghakiman ICJ pada 23 Mei 2008, setelah menyemak bukti diserahkan Malaysia dan Singapura, Pulau Batu Puteh asalnya milik Kesultanan Johor dan tidak pernah dicabar mana-mana kuasa lain di rantau.

"Kewujudan surat bertarikh 21 September 1953 daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang menjawab surat Setiausaha Jajahan Singapura kepada Penasihat British Sultan Johor yang mahu mengetahui status Pulau Batu Puteh, bahawa kerajaan negeri Johor tidak menuntut pemilikannya.

"Mengikut ICJ, surat ini menunjukkan pada 1953 Johor faham ia tidak mempunyai kedaulatan ke atas Batu Puteh, ditambah dengan perlakuan Malaysia dan Singapura selepas 1953, yang mendorong ICJ memutuskan kedaulatan ke atasnya adalah milik Singapura,” katanya lagi.

Mengulas lanjut katanya, Sultan Johor ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar menerima keputusan itu dengan sedih dan usaha mendapatkan semula Batu Puteh diteruskan oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu keputusan ICJ dirayu kerana ia berpunca daripada orang luar yang tidak memahami sejarah Johor.

“Usaha mendapatkan semula Pulau Batu Puteh menjadi rancak setelah Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015. Beliau bersama lima penyelidik ke London pada 2016 bagi menyemak lebih 3,000 dokumen baharu dideklasifikasikan di Arkib Negara United Kingdom,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, tiga dokumen baharu ditemui dari 4 Ogos 2016 hingga 30 Januari 2017 iaitu surat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, satu laporan kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut British dan satu peta serta catatan operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

“Tiga dokumen itu membuktikan selepas tahun 1953 pihak British dan Singapura sendiri mengakui Pulau Batu Puteh bukan milik Singapura.

"Ekoran penemuan fakta baharu ini, Malaysia memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ pada 2 Februari 2017, di mana ICJ mengumumkan pada 5 April 2018 bahawa ia memperuntukkan tempoh empat hari untuk permohonan didengari bermula 11 Jun 2018, sebelum Dr Mahathir tiba-tiba membatalkannya pada 28 Mei 2018,” katanya.

Menurutnya, tindakan Dr Mahathir membatalkan permohonan semakan semula itu sukar difahami kerana ia bercanggah dengan pendirian awal beliau sendiri, selain bercanggah dengan janji Pakatan Harapan (PH) yang diketuai beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

“Bagaimana Dr Mahathir boleh membiarkan Pulau Batu Puteh terlepas ke tangan Singapura selama-lamanya. Adakah beliau lupa, beliau sendiri mengkritik wakil Malaysia pada 31 Mei 2008 kerana tidak mempersoalkan kesahihan surat bertarikh 21 September 1953 itu," katanya.

Beliau juga mendakwa, Dr Mahathir sendiri mengkritik keputusan ICJ pada 31 Julai 2008 yang disifatkan mengejutkan kerana keputusan itu didasarkan kepada surat yang ditulis pegawai rendah Johor semasa di bawah jajahan British kepada pegawai British di Singapura, sedangkan sepatutnya hendaklah dititah di bawah kuasa Sultan..

Kamarul Zaman mempersoal tindakan Dr Mahathir melepaskan peluang menuntut Pulau Batu Puteh tanpa memberikan penjelasan konkrit dan hanya membiarkan Timbalan Menteri Undang-Undang menjawabnya di Dewan Negara pada 3 September 2018.

“Mengikut Timbalan Menteri Undang-Undang, setelah Mohamed Apandi diarahkan bercuti, taklimat diberikan oleh Jabatan Peguam Negara kepada Dr Mahathir pada 17 Mei 2018 di mana keputusan untuk tidak meneruskan kes tersebut dibuat setelah mengambil kira pandangan pihak luar, iaitu Dr Brendan Plant,” katanya.