Jumlah mangsa banjir di Melaka semakin menurun

Hujan lebat berterusan mengakibatkan 36 lokasi di tiga daerah di Melaka dilanda banjir kilat. - Foto Bernama
Hujan lebat berterusan mengakibatkan 36 lokasi di tiga daerah di Melaka dilanda banjir kilat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Melaka semakin pulih petang ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan, manakala mangsa banjir di Selangor dan Perak tidak menunjukkan banyak perbezaan.

Di MELAKA, jumlah mangsa menurun kepada 305 orang daripada 83 keluarga petang ini, berbanding 550 mangsa daripada 145 keluarga pagi Sabtu dengan tiga PPS ditutup iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil, SMK Tun Mutahir dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shuh Yen.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata, daripada keseluruhan mangsa, seramai 108 orang daripada 26 keluarga ditempatkan di PPS SK Ayer Molek.

Selain itu, 85 individu daripada 28 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Alor Gajah melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, SJKC Sin Wah dan SK Telok Berembang, manakala 112 mangsa daripada 29 keluarga ditempatkan di SMK Seri Bemban dan SK Tehel.

Sementara itu, di PERAK, terdapat 19 mangsa banjir daripada enam keluarga ditempatkan di dua PPS selepas kediaman dan tempat tinggal mereka dinaiki air sejak Rabu lepas.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, jumlah tersebut membabitkan sembilan lelaki dan 10 wanita dari Kampung Sungai Temelok, Trong, Taiping dan Kampung Sungai Rentaka, Matang yang ditempatkan di PPS SK Temelok dan PPS SK Matang.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam ciapan di Twitter rasmi memaklumkan ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku petang Sabtu di beberapa tempat di negeri ini membabitkan Hulu Perak, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.

Sementara itu di SELANGOR, Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan setakat tengah hari Sabtu, jumlah mangsa banjir di enam PPS di Sepang kekal seperti pagi Sabtu iaitu 219 mangsa daripada 54 keluarga.

Artikel Berkaitan:

PPS tersebut adalah Sekolah Rendah Agama (SRA) Dato Ahmad Razali yang kekal dihuni 60 orang mangsa; SRA Kampung Giching (56 mangsa); SRA Kampung Labu Lanjut (51 mangsa); SRA Dengkil (44 mangsa); Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Labu Lanjut (tujuh mangsa) dan Balai MPKK Kampung Giching yang menempatkan seorang mangsa banjir. - Bernama