X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

52,580 saman di Kemaman dalam tempoh 10 bulan

Superintendan Hanyan Ramlan
A
A

KEMAMAN - Sejumlah 52,580 saman dikeluarkan oleh polis terhadap pengguna jalan raya di daerah ini sepanjang tempoh 10 bulan iaitu sejak 1 Januari hingga 20 Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah berkenaan, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, jumlah saman dikeluarkan itu meliputi saman bertanda tangan (12,768 kes) dan saman tidak bertanda tangan (39,712 kes) termasuk kesalahan had laju dan pelbagai kesalahan lain.

"Antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah tiada lesen memandu iaitu 1,819 kes; ubahsuai nombor plat kenderaan 1,534 kes; tidak memakai topi keledar, 931 kes; menyebabkan kemalangan 627 kes; ubahsuai ekzos 164 kes dan dan lain-lain 7,693 kesalahan.

"Kebanyakan kesalahan dikesan ini menjadi punca kemalangan terutama tiada lesen memandu. Apabila individu itu tiada lesen memandu, sudah pasti individu terlibat memandu dan menunggang motosikal membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

"Seseorang yang mempunyai lesen pastinya sudah menghadiri pemeriksaaan dan ujian sehingga dia benar-benar faham aspek keselamatan serta adab di jalan raya berbanding mereka yang tidak mempunyai lesen memandu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.

Hanyan turut mengingatkan orang ramai dan pengguna jalan raya supaya patuh peraturan jalan raya terutama penunggang dan pembonceng motosikal dengan memakai topi keledar bagi mengelak berlakunya kemalangan yang boleh mendatangkan cedera parah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hanyan berkata, keseluruhan jenayah indeks menunjukkan penurunan sebanyak 26.6 peratus bersamaan 84 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 20 Oktober tahun ini iaitu 232 kes berbanding 316 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Kesemua kategori jenayah menunjukkan trend penurunan termasuk jenayah kekerasan menurun sebanyak 37.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Selain itu, jenayah harta benda juga menunjukkan penurunan sebanyak 25.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!