Agong imbau kenangan manis bersama rakan kadet Intake SMC 19

Seri Paduka Baginda berkenan menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbau kenangan manis dengan para rakan kadet Intake SMC 19 yang telah menjalani latihan bersama Baginda pada tahun 1978 dan 1979. - Foto FB Istana Negara
Seri Paduka Baginda berkenan menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbau kenangan manis dengan para rakan kadet Intake SMC 19 yang telah menjalani latihan bersama Baginda pada tahun 1978 dan 1979. - Foto FB Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis perjumpaan semula bersama rakan kadet Intake SMC 19 Royal Military Academy Sandhurst tahun 1978 dan 1979, di akademi tersebut pada Jumaat.

Kenyataan Istana Negara di Facebook memaklumkan keberangkatan Sultan Abdullah disambut Komandan Royal Military Academy Sandhurst, Major Jeneral Duncan Capps dan isteri Robyn Capps serta Penasihat Pertahanan Malaysia di United Kingdom Brigadier Jeneral Safwan Ismail.

Pada majlis perjumpaan semula yang berlangsung di Indian Army Memorial Room itu, Sultan Abdullah berkenan menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbau kenangan manis bersama rakan kadet Intake SMC 19 yang telah menjalani latihan bersama Seri Paduka Baginda.

Hadir sama, jurulatih Seri Paduka Colin John yang menzahirkan perasaan bangga dan terharu kerana dapat bertemu semula Sultan Abdullah yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke majlis ini turut mencerminkan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda dan keakraban serta keutuhan semangat setia kawan yang telah terjalin sejak lebih 40 tahun lepas.

“Untuk kesinambungan tradisi, Seri Paduka Baginda telah menzahirkan hasrat agar dua anakanda Seri Paduka Baginda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah untuk turut menjalani latihan pegawai kadet di Royal Military Academy Sandhurst pada tahun hadapan,” menurut kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan memberi kata-kata perangsang kepada dua Pegawai Kadet Malaysia yang sedang menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst, menurut kenyataan itu.

Pegawai Kadet Muhammad Yaasin Kamaruddin dan Pegawai Kadet Muhammad Haikal Mohd Tukiman dijadualkan tamat latihan di akademi itu pada Disember 2021 dan April 2022 kelak.

Artikel Berkaitan:

Royal Military Academy Sandhurst di London ini merupakan sebuah institusi latihan ketenteraan terkemuka dunia yang amat terkenal dalam pembangunan kepimpinan dan latihan asas pegawai tentera darat. - Bernama