Usul Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor dibawa ke DNS

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman (kiri) ketika melawat ruang temuduga pada program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, hari ini. - Foto Bernama
Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman (kiri) ketika melawat ruang temuduga pada program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor akan membentang dan membawa usul bagi Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang akan datang.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, enakmen yang akan diusulkan itu bertujuan membolehkan persatuan-persatuan belia di Selangor dan kerajaan negeri saling bersangkut paut kerana persatuan berkenaan ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Sekarang ini persatuan yang ditubuhkan semuanya tidak ada pergantungan di peringkat negeri. Kerana ia ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan 1966. Jadi kerajaan negeri akan mewujudkan enakmen itu yang akan saya bentang dan bawa usul ini pada sidang Dewan Undang Negeri (DUN) akan datang.

“(Usul itu akan dibawa) di samping enakmen bagi dasar belia, Undi 18 (dan) pindaan kepada Undang-Undang Tubuh kita (Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959) bersesuaian dengan pindaan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Mohd Khairuddin bercakap kepada pemberita selepas Program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini pada Sabtu.

Media pada 15 Ogos lepas melaporkan Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor sebelum ini dijadualkan untuk dibawa pada persidangan DNS, 23 Ogos sehingga 6 September lepas.

Mohd Khairuddin Othman berkata, pada masa tersebut kerajaan negeri sedang merangka enakmen baharu itu bagi membolehkan semua persatuan belia di Selangor dapat ditadbir di bawah satu pergerakan. - Bernama

Artikel Berkaitan: