Covid-19: NSFC akur tidak dapat teruskan saingan Piala Malaysia

Foto Facebook Negeri Sembilan FC
Foto Facebook Negeri Sembilan FC
A
A
A

KESIHATAN 20 pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) merupakan keutamaan pasukan ketika ini meskipun terpaksa akur tidak dapat meneruskan saingan Piala Malaysia musim ini gara-gara hampir keseluruhan pemain dijangkiti Covid-19, kata ketua jurulatih, K Devan.

Beliau berharap pemain serta pegawai yang dijangkiti wabak Covid-19 dapat segera pulih walaupun prestasi pasukannya berada dalam tahap terbaik semasa persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia.

“Ketika ini, semua pemain dan pegawai yang positif Covid-19 sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing, selain turut dipantau oleh petugas kesihatan.

“Keputusan tidak meneruskan saingan Piala Malaysia ini (dibuat) selepas mengambil kira tempoh pasca-Covid-19 yang memerlukan sekurang-kurangnya seminggu atau lebih untuk kembali kepada keadaan normal,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Devan berkata, penularan jangkitan wabak itu dalam pasukan hasil ujian pengesanan RT-PCR pada 18 Oktober lepas susulan terdapat seorang pemain mengalami gejala demam.

Beliau berkata, ujian itu dilakukan sehari selepas perlawanan persahabatan menentang Penang FC yang dibatalkan pada 17 Oktober.

“Saya sentiasa berkomunikasi dengan pemain untuk mengetahui keadaan kesihatan pemain dari semasa ke semasa dan setakat ini mereka hanya perlu kuarantin di rumah sahaja,” katanya yang tidak dijangkiti wabak itu.

Media tempatan pada Jumaat melaporkan juara Liga Premier 2021 itu tidak dapat meneruskan saingan Piala Malaysia selepas 20 pemain serta empat pegawainya disahkan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, tiga pasukan dalam Kumpulan C mendapat kemenangan percuma 3-0 selepas NSFC tidak meneruskan baki saingan Piala Malaysia susulan hampir seluruh pemain dijangkiti wabak berkenaan.

Katanya, keputusan itu diambil dengan merujuk kepada Bahagian 13: Pematuhan SOP Penganjuran Perlawanan Piala Malaysia 2021.

Turut berada dalam Kumpulan C adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC memperoleh enam mata, Melaka United dan Kelantan United masing-masing akan memperoleh tiga mata percuma.

Dalam baki empat perlawanan peringkat kumpulan, NSFC dijadual bertemu Kedah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 29 Oktober dan di Stadium Darul Aman, Alor Setar (2 November), Melaka United di Paroi (6 November) dan Kelantan United di Paroi (9 November).

Juara tiga kali itu yang kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2011 menduduki tempat ketiga Kumpulan C dengan tiga mata, selepas tewas 2-0 kepada Melaka United dan menang 1-0 ke atas Kelantan United. - Bernama