Graduan dinasihat terima apa sahaja peluang pekerjaan sedia ada

Saravanan (tengah) bersama Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19 di Seri Kembangan pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Saravanan (tengah) bersama Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19 di Seri Kembangan pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Kerajaan sedang mengambil langkah-langkah bagi menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, apabila negara ini dibenarkan untuk mengadakan majlis secara besar-besaran, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan mengadakan 'job fair'.

"Program itu bagi menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk warga tempatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19 di Seri Kembangan pada Sabtu.

Sinar Harian menerusi laporan muka depan akhbar mendedahkan 1 per empat penganggur di negara ini ialah dalam kalangan graduan akibat pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, isu graduan menganggur bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi turut berlaku di seluruh dunia.

“Kita kena sedar apa yang berlaku ini di seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sekiranya graduan mempunyai komitmen, mereka dinasihatkan agar menerima apa sahaja peluang pekerjaan sedia ada.

“Dalam keadaan ini, sekiranya kita ada komitmen, terima sahaja apa-apa peluang pekerjaan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan waktu dan masa untuk kita memilih kerana keadaan luar biasa (disebabkan Covid-19),” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, keadaan luar biasa ini hanyalah sementara.

“Saya beri keyakinan kepada graduan kerana beberapa kementerian termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pihak sedang mengambil langkah-langkah untuk kita sama-sama atasi (masalah pengangguran),” katanya.