X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 04 Disember 2021

Zoo maya pertama di Asia

Nolee Ashilin melancarkan 'MyZooTaiping' sempena Sambutan Hari Zoo Sedunia di Zoo Taiping & Night Safari.
A
A

TAIPING - Zoo Taiping & Night Safari dijangka menerima antara 10 hingga 20 peratus pengunjung secara maya selepas 'MyZooTaiping' iaitu platform zoo maya yang pertama seumpamanya diperkenalkan di Asia pada Sabtu.

Exco Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, inovasi itu merupakan dimensi baharu dalam digitalisasi sektor pelancongan dan rekreasi yang direka bentuk dengan penambahan komponen unik dalam talian.

"Ramai tahu peranan zoo sebagai pusat rekreasi dan pendidikan namun aspek penyelidikan dan konservasi jarang ditayangkan kepada umum.

"Melalui platform ini, aspek pendidikan dan konservasi dapat dipertontonkan terus ke rumah pelanggan. MyZooTaiping menawarkan empat komponen iaitu lawatan berpandu secara maya, MyZooTaiping TV, Forum Zoologi dan aktiviti lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'MyZooTaiping' sempena Sambutan Hari Zoo Sedunia di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung, Datuk Fakhrul Hatta Musa dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir.

Menurutnya, objektif platform itu sebagai menyokong usaha Zoo Taiping & Night Safari bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap konservasi hidupan liar dan pemuliharaan alam semulajadi.

"Platform zoo maya ini merupakan usahasama MPT dan Persatuan Eko-Pelancongan dan Konservasi Malaysia (ECOMY) yang memberi pendapatan secara lestari selain mengurangkan kesan dan risiko penutupan sementara zoo disebabkan keadaan yang tidak dijangka.

"Pelancaran ini diadakan secara langsung di laman sosial akan meningkatkan nilai zoo ini di persada antarabangsa dan lebih penting dapat menyebarkan rasa cinta dan sayang kepada alam dan hidupan liar," katanya.

Nolee Ashilin berkata, pembukaan semula Zoo Taiping & Night Safari berjaya mencatatkan kehadiran kira-kira 18,000 pengunjung dalam tempoh lima hari sehingga Jumaat.

"Kita lihat prestasi ini amat memberangsangkan kerana zoo ini masih kekal menjadi pilihan pengunjung sebagai destinasi keluarga.

"Jadi inisiatif 'MyZooTaiping' ini bertepatan untuk kita mengajak bukan sahaja pelancong domestik tetapi pelancong asing apabila pembukaan sempadan dan pintu masuk antarabangsa," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!