Lonjakan kes harian Covid-19 akibat rentas negeri

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Faktor rentas negeri dibimbangi menjadi punca utama lonjakan kes harian baharu Covid-19 dalam negara dalam tempoh terdekat ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat mengunjurkan purata kes sebanyak 7,576 untuk tempoh lima hari akan datang.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang memberitahu perkara berkenaan dalam sidang media pada Jumaat turut melaporkan tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan mencatat peningkatan sejak kerajaan menarik semula sekatan rentas negeri pada 11 Oktober lepas.

Pada Jumaat, KKM melaporkan kes harian baharu sebanyak 6,630 kes (termasuk 15 kes import).. Pada Khamis, negara mencatat 6,210 kes harian baharu (termasuk 42 kes import).

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (16 Oktober hingga 22 Oktober 2021, terdapat tiga hari kes harian baharu Covid-19 menurun kepada sekitar 5,000 iaitu pada 18 Oktober (5,434 kes), 19 Oktober (5,745 kes) dan 20 Oktober (5,516 kes).

Kali terakhir angka kes harian baharu sekitar 5,000 kes adalah pada 28 Jun 2021 iaitu sebanyak 5,218 kes.

Berikut rekod kes harian baharu sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (16 Oktober hingga 22 Oktober 2021) adalah seperti berikut:-

16 Oktober (7,509 kes), 17 Oktober (6,145 kes), 18 Oktober (5,434 kes), 19 Oktober (5,745 kes), 20 Oktober (5,516 kes), 21 Oktober (6,210 kes) dan 22 Oktober (6,630 kes).

Artikel Berkaitan:

Jumlah kes sembuh yang terus mengatasi angka kes harian baharu membantu menurunkan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan dalam negara.

Kes sembuh hari ini sebanyak 7,630 kes, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 2,311,213 kes (95.5 peratus), sementara kes kumulatif Covid-19 pula sebanyak 2,420,222 kes.

Data COVIDNOW KKM pada 22 Oktober 2021, menunjukkan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan menurun kepada 80,697 kes. Untuk rekod, kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan pada 22 September 2021 adalah sebanyak 201,274 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam perkongsian di laman Facebook peribadi beliau pada 19 Oktober lepas, mengingatkan agar semua pihak 'kekal mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan penuh disiplin'.

"Setiap individu bertanggungjawab memelihara kesihatan mereka, keluarga, dan masyarakat sekeliling. Inisiatif menjalankan ujian kendiri sangat digalakkan apabila seseorang individu bergejala dan/atau sebelum melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman bagi melindungi orang lain di sekeliling.

"Tingkatkan penilaian kendiri TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek), " nasihat beliau.

Dengan kes kumulatif 2,420,222 kes, Malaysia kini di tangga 20 daripada 223 buah negara/wilayah yang dilanda Pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Ukraine (2,725,385 kes) dan Filipina (2,745,889 kes).

Sebanyak 521 kes pesakit memerlukan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat hari ini, dan 230 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, jumlah kematian melibatkan pesakit Covid-19 di negara ini melepasi angka 28 ribu pada Selasa 19 Oktober. Sebanyak 96 lagi kes kematian dilaporkan Khamis (21 Oktober), menjadikan jumlah kes kematian akibat Covid-19 dalam negara berjumlah 28,234 kes.

Sementara itu, daripada 6,630 kes harian baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 101 kes (1.5 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 sementara 6,529 kes (98.5 peratus) tergolong dalam kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Dr Noor Hisham melaporkan pada 19 Oktober lepas, sebanyak 134 kes baharu, dikaitkan dengan Variant of Concern (VOC), iaitu 132 kes varian Delta (B.1.617.2); dan dua (2) kes varian Beta (B.1.351).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 2,386 kes.

Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 2,366 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. - Bernama