'Selepas fail semakan kehakiman, PH tanding atau tidak PRN Melaka?'

Sulaiman (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima di Seri Bendahara, Ayer Keroh Sabtu.
Sulaiman (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima di Seri Bendahara, Ayer Keroh Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali enggan mengulas lanjut mengenai pihak yang memfailkan semakan kehakiman tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Beliau berkata, mereka mempunyai hak untuk membuat pilihan mahu membawa perkara itu ke mahkamah.

Bagaimanapun menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka iaitu pada 20 November depan.

"Saya tiada komen, mereka telah pun failkan dan dalam proses jadi kita tunggu perundangan.

"Apa lagi yang saya nak katakan, memang dia mahu bawa perkara ini ke mahkamah, bawalah," katanya.

Sulaiman berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada penerima kaum India anjuran Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari) di Seri Bendahara di Ayer Keroh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi MIC negeri, Datuk M S Mahadevan dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Burhanuddin Bachik.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan pihak yang mencabar itu akan bertanding pada PRN atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

"Bertanding ke tak, dah mencabar tapi bertanding ke? Tak tahulah," ujarnya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat berhubung pembubaran DUN dan pembatalan PRN negeri itu serta-merta.

Adly selaku pemohon memfailkan semakan berkenaan petang Jumaat, menerusi menerusi Tetuan Gan Ho dan Razlan Hadri dengan menamakan empat pihak iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai defendan pertama manakala bekas Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh defendan kedua.