Guru wanita diikat kaki, tangan sebelum disamun

Dzulkhairi (tengah) menunjukkan tiga unit kamera dan lensa yang dirampas dalam serbuan di dua buah rumah di Skudai pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Dzulkhairi (tengah) menunjukkan tiga unit kamera dan lensa yang dirampas dalam serbuan di dua buah rumah di Skudai pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, Iskandar Puteri pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang guru wanita diikat kaki dan tangan sebelum disamun selepas rumah keluarganya dipecah masuk di Jalan Pulai 2, Kangkar Pulai di sini pada 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian pada jam 2.41 pagi, guru wanita sekolah rendah berusia 30-an dan masih belum berkahwin itu tinggal seorang diri di rumah tersebut.

Menurutnya, mangsa mendakwa didatangi lima lelaki berkulit gelap bersenjatakan parang sebelum mengikat kaki dan tangannya menggunakan sarung bantal.

"Kumpulan lelaki itu melarikan pelbagai barangan antaranya kamera, lensa dan pelbagai aksesori kamera milik kakak ipar mangsa yang bekerja sebagai jurufoto di Singapura.

"Mangsa yang mengalami kerugian RM70,000 telah membuat laporan polis menerusi panggilan MERS 999," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini pada Sabtu.

Dzulkhairi Mukhtar berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri melakukan serbuan dan tangkapan di dua lokasi berbeza pada 3.30 petang hingga 10 malam hari sama.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan di hadapan restoran Jalan Mutiara Mas 1/2, Taman Mutiara Mas, Skudai dan berjaya menahan dua lelaki serta merampas kereta jenis Honda Accord, anak kunci dan alat kawalan jauh.

Katanya, dalam serbuan kedua di sekitar Taman Universiti, Skudai, polis menahan dua lelaki serta merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan samun termasuk tiga beg jenama Nsmo, empat lensa kamera Canon, tiga unit kamera Canon, dua unit lampu flash tanpa wayar, dua unit bateri, dua unit adapter, sebuah speedlite transmitter camera jenis Canon, satu unit lampu flash Witstro jenama Nsmo, satu unit flash point dan satu unit bulb flash jenama Nsmo.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut merampas satu unit pemutar skru, satu unit pemotong besi, dua bilah parang panjang dan empat pasang sarung tangan kain," katanya.

Tambah beliau, tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau iaitu seorang daripadanya memiliki 24 rekod melibatkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala dua lagi masing-masing lapan dan satu rekod.

"Selain itu, dua daripada mereka turut positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan baru diwujudkan dan tangkapan itu dipercayai dapat menyelesaikan beberapa kes samun di sekitar kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.

Tambahnya, kumpulan itu memilih kediaman mangsa secara rawak dengan beranggapan rumah berkenaan tidak berpenghuni.

"Semua suspek ditahan reman sehingga bermula 22 hingga 26 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Polis masih memburu seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas," katanya.