Bapa Timbalan Menteri MOSTI meninggal dunia

Ahmad Amzad (depan) mengimamkan solat jenazah bapanya di Surau Al-Ikhlas Durian Burung jam 10 pagi pada Sabtu.
Ahmad Amzad (depan) mengimamkan solat jenazah bapanya di Surau Al-Ikhlas Durian Burung jam 10 pagi pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bapa kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim meninggal dunia di kediamannya di Kampung Durian Burung di sini, jam 11.30 malam pada Jumaat.

Menurut Ahmad Amzad, beliau menerima berita kematian bapanya, Mohammad@Hashim Abdul Rahman, 83, ketika berada di Putrajaya sebelum bertolak dan tiba di Kuala Terengganu jam 5.40 pagi pada Sabtu.

Beliau berkata, kali terakhir beliau bertemu arwah bapanya pada Sabtu minggu lalu.

"Kali terakhir saya bertemu bapa saya minggu lepas. Ketika itu, dia masih sihat dan mampu menunaikan solat lima waktu dalam keadaan berdiri seperti biasa.

"Arwah seorang yang rajin mengaji al-Quran dan solat sunat. Adik saya beritahu, semalam arwah juga sihat dan tiada apa-apa perubahan.

"Ibu saya pula beritahu, dalam jam 11 malam dia nampak ayah saya dalam keadaan sujud di tempat solat. Apabila dia cuba kejutkan, arwah sudah tidak memberikan tindak balas. Tenang sungguh keadaannya, wajahnya seperti sedang tidur. Mohon doakan ayah saya," katanya ketika ditemui di kediaman di Kampung Durian Burung di sini pada Sabtu.

Menurut Ahmad Amzad, bapanya merupakan seorang individu yang baik, tidak pemarah, pendiam serta mendidik anak-anak dengan penuh kesabaran.

Allahyarham Hashim meninggalkan seorang balu, Fatimah@Bahruni Draman@Abdul Rahman, sembilan orang anak, 40 cucu serta sembilan cicit.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Allahyarham disolatkan di Surau Al-Ikhlas Durian Burung jam 10 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Parit di sini, kira-kira jam 11 pagi pada Sabtu.